URUSAN penghantaran pulang 1,200 warga Myanmar yang sepatutnya berjalan hari ini ditangguhkan sehingga 10 pagi esok, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan badan hak asasi manusia untuk mereka membuat satu semakan kehakiman.
Warga Myanmar itu dijadual dihantar pulang hari ini melalui pangkalan tentera laut di Lumut, Perak.
Permohonan semakan kehakiman oleh Amnesty International Malaysia dan Asylum Acccess Malaysia itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok, kata peguam Lim Wei Jiet yang mewakili dua badan itu.
Kumpulan 1,200 pendatang asing tanpa izin yang ditahan itu hendak dihantar pulang selepas tentera Myanmar, yang merampas kuasa pada 1 Februari lalu, mengirimkan tiga kapal tentera laut untuk membawa mereka pulang.
Langkah itu mencetuskan bantahan pelbagai kumpulan hak asasi manusia serta agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kerana kumpulan 1,200 warga Myanmar itu termasuk pemohon suaka dan kanak-kanak.
Pada 15 Februari, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata program penghantaran pulang itu tidak melibatkan pemegang kad pelarian PBB atau etnik Rohingya.
Sebaliknya, mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah atau melanggar syarat visa kemasukan, termasuk terlebih tinggal di Malaysia.
Badan hak asasi Lawyer for Liberty (LFL) menyifatkan keputusan kerajaan menghantar kumpulan 1,200 warga Myanmar ini ke negara asal menghantar isyarat Malaysia mengiktiraf tindakan rampasan kuasa tentera.
Tentera Myanmar merampas kuasa kerana enggan mengiktiraf keputusan pilihan raya umum pada November 2020 yang dimenangi oleh Aung San Suu Kyi dan partinya Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).
Dengan rampasan kuasa itu, tentera meletakkan Myanmar di bawah perintah darurat selama setahun, namun dibantah oleh ribuan rakyat yang sejak beberapa hari lalu mengadakan tunjuk perasaan di jalan raya di beberapa bandar utama di serata negara.
Sementara itu badan gereja Persidangan Uskup Katolik Malaysia menyifatkan penghantaran pulang warga Myanmar ini akan membahayakan nyawa mereka di tengah keadaan yang tidak menentu di negara itu.
Kata badan itu, rakyat Malaysia yang prihatin tidak wajar membenarkan perkara ini berlaku. – 23 Februari, 2021.
Komen