Penghantaran pulang warga Myanmar akan diajukan ke mahkamah, kata Ambiga


Noel Achariam Kalidevi Mogan Kumarappa

Petang tadi, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan penangguhan penghantaran pendatang itu. – Gambar AFP, 23 Februari, 2021.

KEPUTUSAN Imigresen untuk mengabaikan perintah mahkamah menghentikan penghantaran pulang 1,086 tahanan Myanmar akan diajukan kepada mahkamah esok, kata Ambiga Sreenevasan.

Peguam terkenal yang mewakili Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia itu berkata mereka terkejut dengan tindakan yang membelakangi perintah mahkamah itu.

“Ini tidak dapat diterima dan kami akan bawa ke mahkamah esok.

“Nampak tidak menghormati perintah mahkamah dan kami sedang mengkaji garis masa sebelum kami mempertimbangkan tindakan selanjutnya,” katanya kepada The Malaysian Insight malam ini.

Sebelumnya Malaysia menghantar pulang 1,086 warga Myanmar hanya beberapa minggu setelah rampasan kuasa, walaupun terdapat perintah mahkamah dan kritikan dari kumpulan hak asasi.

Pendatang dibawa menaiki bas dan trak ke pangkalan tentera di Lumut, di pantai barat Malaysia, di mana tiga kapal tentera laut Myanmar berlabuh.

Petang tadi, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan penangguhan penghantaran pendatang itu.

Ini berlaku setelah Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia bersama-sama mengajukan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi KL untuk menghentikan usaha kerajaan menghantar pulang mereka ke Myanmar.

Warga Myanmar dijadual dihantar pulang oleh angkatan laut Myanmar hari ini di pangkalan tentera laut Lumut.

Sebaliknya, mahkamah memerintahkan perbicaraan penghantaran itu dijadualkan pada 10 pagi esok.

Ambiga berkata sebaik isu ini diangkat, mereka juga prihatin dengan para pendatang itu yang mungkin akan berhadapan dengan keadaan tidak menentu dan tidak selamat di tanah air mereka.

“Ada lebih kurang 114 orang yang ditinggalkan dan kami masih ada kerja perlu dibuat bagi memastikan keselamatan mereka dan keselamatan orang lain yang mungkin berada dalam keadaan yang sama.”

Pengerusi Jawatankuasa Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam M Ramachelvam berkata tindakan yang diambil oleh kerajaan dengan menghantar pulang warga Myanmar itu sama dengan penghinaan terhadap perintah penangguhan yang diberikan mahkamah.

“Kami merasa ini tidak seharusnya dilakukan ketika mahkamah telah membuat perintah yang jelas yang menyatakan bahawa harus ada penangguhan hingga 10 pagi esok supaya mahkamah mendengar permohonan penarikan untuk membuat perintah tambahan yang lain.

“Jadi apa yang telah terjadi, sepatutnya tidak terjadi kerana kita ada undang-undang. Mahkamah sudah beri perintah, jadi setiap orang harus patuh perintah mahkamah.”

Beliau berkata, bagi pihak berwajib, mereka sepatutnya sudah tahu dengan perintah mahkamah (permohonan penangguhan sementara).

“Jabatan Peguam Negara ada ketika perintah itu dibuat dengan kehadiran wakil dari pejabat peguam negara.

“Jadi, semestinya pihak berkuasa sedar tentang perintah itu. Kerana itu sama dengan penghinaan, tetapi tentu saja para peguam akan memulai proses yang relevan untuk mendapatkan penghinaan. Oleh itu, proses perundangan yang diperlukan harus dijalankan.” – 23 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen