Putrajaya lancar sistem baharu imigresen


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata penggunaan NIISe akan memodenkan perkhidmatan Imigresen melalui aplikasi dilengkapi ciri canggih dan terkini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2021.

PUTRAJAYA melancarkan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIIMs) yang digunakan Jabatan Imigresen sejak lebih 20 tahun lalu, hari ini.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata penggunaan NIISe akan memodenkan perkhidmatan Imigresen melalui aplikasi dilengkapi ciri canggih dan terkini.

“NIISe mampu mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan Imigresen dan mengelakkan ketirisan hasil kerajaan.

“NIISe adalah sistem keimigresenan yang lebih canggih, bersepadu dan holistik, dengan dilengkapi teknologi terkini seperti kecerdasan buatan, Internet of Things serta ‘big data analytics’ (BDA),” katanya pada majlis pelancaran sistem itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelasnya, dengan penggunaan NIISe, operasi terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) dapat dilaksanakan secara lebih efektif berdasarkan maklumat diperoleh melalui BDA yang diwujudkan dalam sistem itu.

“Kementerian sedar bahawa keselamatan adalah merupakan agenda utama kerajaan dan kementerian bertanggungjawab bagi memastikan semua rakyat dan penduduk merasakan benar-benar selamat untuk tinggal dalam negara. 

“Oleh yang demikian, perkara utama yang harus dipertingkatkan adalah kawalan di pintu-pintu masuk negara bagi memastikan setiap kemasukan dalam negara telah dipastikan lulus tapisan dan benar-benar layak untuk masuk,” katanya.

Menurut Hamzah, sistem ini juga antara lain dilengkapi penjanaan identiti unik bagi setiap pelawat ketika ketibaan di pintu masuk negara, menerusi pengambilan biometrik cap jari serta wajah, sekali gus menyumbang kepada keberkesanan penguatkuasaan secara digital pada masa depan.

“Lebih 1 bilion ringgit kos diperuntukkan untuk pembangunan sistem ini yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024 itu merangkumi 13 modul utama dan enam sokongan,” katanya.

Mengulas mengenai kejadian penggodaman oleh sindiket terhadap sistem MyIMMs yang mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu baru-baru ini, Hamzah berkata terdapat kelompongan pada sistem terbabit sehingga ia dimanipulasi pihak-pihak tertentu.

“Sebab itu syabas kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Imigresen, akhirnya dapat buktikan bila sistem lama, orang dah tahu algorithm, semuanya telah dikaji,” katanya.

SPRM minggu ini membongkar sindiket pengeluaran PLKS palsu dibantu oleh bekas pegawai Imigresen yang membuka jalan sehingga mereka dapat membolosi sistem operasi agensi dan menghasilkan lebih 21,000 pas palsu sejak lebih sedekad yang lalu.

Lima individu setakat ini ditahan untuk membantu siasatan. β€“ 8 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen