KERAJAAN Yaman mendakwa pemberontak Huthi menggunakan orang awam sebagai pelindung ketika melancarkan serangan di bahagian utara negara itu.
Awal bulan ini, pemberontak yang disokong Iran itu melancarkan serangan untuk menawan bandar Marib, kira-kira 120 kilomeer dari kubu kuat pemberontak di Sanaa.
Bandar itu terletak berhampiran kawasan lapangan minyak terbanyak di Yaman dan akan menguntungkan pemberontak jika bandar itu ditawan.
Namun pertempuran itu membangkitkan kebimbangan untuk ratusan ribu penduduk awam yang berlindung di kem berdekatan sempadan Arab Saudi.
Tentera kerajaan memberitahu bahawa pemberontak menggunakan penduduk di kem Al-Zor sebagai pelindung sejak mereka menawan bandar itu pada minggu lalu.
Dalam tempoh 24 jam lepas, sekurang-kurangnya 12 tentera kerajaan dan 20 pemberontak maut dalam beberapa pertempuran di utara dan barat Marib.
Serangan Huthi berlaku ketika pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan kumpulan itu daripada senarai hitam pertubuhan pengganas sebagai usaha memudahkan rundingan perjanjian damai di Yaman.
Presiden Joe Biden juga mengumumkan tidak lagi menyokong operasi ketenteraan Arab Saudi di Yaman yang disifatkan mewujudkan bencana kemanusiaan. – AFP, 20 Februari, 2021.
Komen