Saudi dakwa dron bersenjata pemberontak Yaman berjaya dipintas


Operasi dron itu bagaimanapun tidak diakui oleh puak Huthi yang turut disokong Iran. – Gambar fail EPA, 7 Februari, 2021.

ARAB Saudi mendakwa kerajaannya berjaya memintas dron bersenjata yang dilancarkan puak Huthi Yaman, kata media kerajaan itu pada Ahad. 

Pengumuman itu dilakukan sehari selepas Amerika Syarikat mengambil langkah untuk menyah senarai kumpulan pemberontak itu daripada senarai kumpulan pengganas.

Gabungan ketenteraan yang dipimpin Arab Saudi “memintas dan menghancurkan dron bersenjata.

“Ia dilancarkan secara sistematik oleh militan pengganas Huthi menyasarkan orang awam di selatan wilayah itu,” kata jurucakap Turki al-Maliki dalam satu kenyataan.

Operasi dron itu bagaimanapun tidak diakui oleh Huthi yang turut disokong Iran.

Jabatan Negara AS pada hari Jumaat berkata pihaknya secara rasmi memberitahu Kongres mengenai hasratnya untuk menyah senarai kumpulan itu daripada senarai pengganas.

Langkah itu dibuat sehari selepas Presiden AS Joe Biden mengumumkan berakhirnya sokongan AS terhadap operasi serangan yang dipimpin Saudi di Yaman.

Kumpulan kemanusiaan menentang langkah terbaru itu, kerana ia dianggap akan membahayakan operasi mereka di negara yang bergantung pada bantuan, dan mereka tidak mempunyai pilihan selain berurusan dengan Huthi, yang menguasai wilayah utara Yaman. – AFP, 6 Februari, 2021.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen