Kembar siam Yaman bakal jalani pembedahan di Jordan


Bayi kembar siam diletakkan dalam inkubator di unit rawatan rapi neonatal di Hospital Al-Sabaeen, di Sanaa, Yaman, pada 18 Disember lalu. – Gambar EPA, 7 Februari, 2021.

BAYI kembar siam yang lahir di Yaman dibawa ke Jordan pada Sabtu untuk pembedahan pemisahan, kata agensi kanak-kanak PBB, hampir dua bulan selepas sebuah hospital memberi amaran mereka berada dalam keadaan kritikal.

Dilahirkan di ibu negara Yaman, Sanaa pada pertengahan Disember, “echocardiogram menunjukkan mereka mempunyai jantung sendiri, walaupun kedudukan jantung salah seorang daripada mereka tidak normal,” Majda al-Khatib, pengarah Hospital Al-Sabeen, memberitahu AFP ketika itu.

Kemudahan berkapasiti rendah di hospital itu menyebabkan doktor tidak mampu menentukan dengan tepat “organ mana yang bersambung”, tambahnya.

Unicef pada Sabtu berkata kembar itu telah dipindahkan ke Amman, Jordan, untuk menjalani pembedahan pemisahan.

“Setelah berminggu-minggu perancagan… mereka sekarang berada di tangan yang selamat pasukan pakar bedah. Kami berharap dapat melihat mereka kembali di Sanaa dalam keadaan sihat,” kata Philippe Duamelle, wakil Unicef ke Yaman, dalam satu kenyataan.

Ibu negara Yaman sejak 2014 dikuasai pemberontak Huthi yang disokong oleh Iran, yang melawan kerajaan diakui antarabangsa yang disokong oleh gabungan ketenteraan pimpinan Arab Saudi.

Konflik tersebut menghancurkan perkhidmatan kesihatan yang kekurangan sumber di negara termiskin di dunia Arab.

Lapangan terbang Sanaa ditutup untuk penerbangan komersial kerana sekatan udara yang dikenakan oleh pakatan pimpinan Arab Saudi, walaupun penerbangan PBB dibenarkan.

Ibu dan ayah bayi itu menemani anak mereka dalam perjalanan, kata Unicef.

Agensi itu berkata ia mampu menampung perbelanjaan perubatan dan logistik operasi selepas mendapat “sumbangan besar daripada beberapa penderma individu persendirian”.

Pada Februari 2019, sepasang bayi lelaki kembar siam yang memerlukan rawatan segera meninggal dunia di Sanaa dua minggu selepas kelahiran mereka.

Keadaan mereka membawa kepada rayuan untuk rawatan perubatan segera di luar negara.

Konflik Yaman digambar sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia, menurut PBB. – AFP, 7 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen