YAMAN yang dilanda perang pada Jumaat melaporkan kes pertama koronavirus di wilayah selatan di bawah kawalan kerajaan, kata kenyataan rasmi.
Kumpulan bantuan sebelum ini memberi amaran bahawa apabila virus itu melanda sistem penjagaan kesihatan negara yang lemah - disifatkan PBB berdepan bencana kemanusiaan terburuk di dunia - kesannya akan menjadi malapetaka.
“Kes pertama koronavirus telah dilaporkan di wilayah Hadramout,” kata jawatankuasa kecemasan kebangsaan tertinggi Covid-19 di Twitter.
Jawatankuasa itu, yang dikendalikan oleh Presiden Abedrabbo Mansour Hadi, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, berkata pesakit yang dijangkiti berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan.
Ia menambah pasukan perubatan dan pihak berkuasa berkaitan sudah mengambil semua langkah diperlukan, berjanji memberi butiran selanjutnya pada Jumaat.
Puluhan ribu warga Yaman terbunuh selama lima tahun lalu dalam perang antara pemberontak Houthi dan tentera gabungan pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan.
Gabungan itu mengumumkan gencatan senjata unilateral dua minggu pada Rabu bagi mencegah koronavirus sampai ke negara itu yang akan melumpuhkan sistem kesihatan. – AFP, 10 April, 2020.
Komen