Dr Mahathir tak mahu usir Zakir Naik, kata Tommy Thomas


The Malaysian Insight

Kehadiran pendakwah Zakir Naik di Malaysia mencetuskan polemik kaum dan agama susulan beberapa kenyataan beliau semasa siri ceramahnya ke serata negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2021.

DR Mahathir Mohamad tidak mahu mengusir Zakir Naik walaupun hanya itu yang dikehendaki oleh India, kalau sekiranya ia tidak dapat mengekstradisi pendakwah kontroversi itu, kata bekas Peguam Negara Tommy Thomas.

Dalam buku biografinya yang terbit minggu ini, Thomas berkata pendirian India itu disampaikan kepadanya oleh pesuruhjaya tinggi republik itu dalam satu pertemuan mereka semasa beliau jadi peguam negara.

“Pesuruhjaya Tinggi menyatakan bahawa tidak perlu untuk Malaysia mengekstradisi Zakir ke India bagi menghadapi tuduhan jenayah. Sebaliknya, India hanya mahu Malaysia mengusirnya dari negara kita,” imbas Thomas.

Tambahnya, pesuruhjaya tinggi India memberitahunya India tidak kisah ke mana Zakir pergi sekiranya diusir dari Malaysia, sebaliknya India hanya mahu hubungan dua hala dengan negara ini tidak terjejas kerana isu pendakwah itu.

Thomas mendedahkan beliau beberapa berbincang dengan Dr Mahathir mengenai tindakan terhadap Zakir namun bekas perdana menteri berkata tiada negara ketiga mahu menerima pendakwah itu.

Thomas berkata beliau difahamkan tiada negara Islam mahu menerima Zakir, antaranya Pakistan, Iran, Bangladesh, Arab Saudi dan Qatar.

Biografi ini adalah pendedahan pertama pegawai kanan dalam pentadbiran Pakatan Harapan mengenai tempoh 22 bulan gabungan itu jadi kerajaan.

Thomas letak jawatan pada 28 Februari tahun lalu, empat hari selepas pentadbiran itu runtuh susulan percaturan politik yang dirujuk sebagai Langkah Sheraton.

Menurut Thomas, pihak polis juga tiada halangan dengan tindakan pengusiran kerana mereka sebelum tidak menyokong keputusan pentadbiran Najib Razak memberikan status pemastautin tetap kepada Zakir.

Kehadiran Zakir di Malaysia mencetuskan polemik kaum dan agama susulan beberapa kenyataan beliau semasa siri ceramahnya ke serata negara. Beliau disiasat oleh polis serta dilarang mengadakan ceramah di mana-mana tempat atau melalui mana-mana medium di Malaysia.– 31 Januari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen