India dedah plot serangan pengganas berkait Malaysia, Zakir Naik


Zakir Naik amat dikehendaki pihak berkuasa India kerana tuduhan melakukan penggubahan wang haram dan menyebarkan kebencian sehingga mencetuskan keganasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2020.

INDIA mendedahkan pelan serangan pengganas di negaranya oleh kumpulan yang bertapak di Malaysia dan dikaitkan dengan Zakir Naik, lapor portal Times of India.

Menurut laporan itu, agensi perisikan India memintas transaksi kewangan yang dikaitkan dengan pendakwah Islam itu dan mendapati sekumpulan Rohingya di Malaysia berada di fasa terakhir untuk melancarkan serangan pengganas di beberapa bandar di India dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Antara negeri yang menjadi sasaran termasuk Ayodhya, Bodhgaya, Punjab dan Srinagar.

Ketua kumpulan itu merupakan seorang wanita daripada Myanmar.

ketua wanita pengganas itu dipercayai berlatih di Myanmar untuk operasi tersebut dan dihantar ke Malaysia awal tahun ini.

Times of India berkata pihaknya juga melihat dokumen perisikan yang mengesan transaksi berjumlah US$200,000 (RM800,000) kepada pemimpin kumpulan Rohingya di Kuala Lumpur Mohammed Naseer dan Zakir.

Difahamkan kumpulan itu merancang untuk memasuki India menerusi Bangladesh pada bulan ini.

Pasukan penyiasat India kini menyiasat sama ada sebuah kumpulan militan Rohingya yang mengumpul dana untuk pelarian Myanmar di Malaysia mempunyai kaitan dengan plot itu.

Zakir amat dikehendaki pihak berkuasa India kerana tuduhan melakukan penggubahan wang haram dan menyebarkan kebencian sehingga mencetuskan keganasan.

Beliau kini mendapat perlindungan politik di Malaysia. – 13 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen