Kumpulan Hindu mahu lapor polis terhadap Zakir Naik


Ravin Palanisamy

Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia berkata laporan dibuat untuk mendesak pihak berkuasa menyiasat penceramah agama Zakir Naik, selain menggesa beliau diusir dari negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2020.

SEBUAH kumpulan Hindu akan membuat laporan polis terhadap Zakir Naik hari ini, selepas India mendedahkan pelan serangan pengganas di negara itu oleh kumpulan yang bertapak di Malaysia dan dikaitkan dengan dengan penceramah kontroversi itu.

Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia berkata laporan dibuat untuk mendesak pihak berkuasa menyiasat Zakir yang dikehendaki di India, selain menggesa beliau diusir dari negara ini.

“Apa yang didedahkan oleh India adalah satu tuduhan yang serius.

“Kami akan membuat laporan polis hari ini bagi mendesak mereka mengambil tindakan terhadap Zakir dan meminta pihak berkuasa mengusirnya,” kata penasihat persatuan itu Arun Dorasamy kepada The Malaysian Insight.

Times of India semalam melaporkan agensi perisikan India telah memintas transaksi kewangan sebuah kumpulan etnik Rohingya yang bertapak di Malaysia yang merancang untuk melancarkan serangan di India dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Antara negeri di India yang menjadi sasaran termasuk Ayodhya, Bodhgaya, Punjab dan Srinagar.

Menurut portal itu lagi, rancangan serangan kini berada di peringkat akhir. Laporan turut menyebut pihak berkuasa India menyiasat sama ada traksaksi ada kaitan dengan Zakir. 

Mengulas laporan tersebut, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador semalam berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai Zakir Naik yang dikaitkan dengan rancangan serangan itu.

Hamid dipetik Bernama berkata PDRM amat mengalukan-alukan sebarang perkongsian maklumat berhubung perkara itu.

Arun ketika dihubungi berkata daripada menunggu laporan rasmi dari India, Hamid sepatutnya segera memulakan siasatan terhadap Zakir.

“Malaysia tidak perlu melindungi individu yang bukan rakyat Malaysia.

“Kami tidak mahu Malaysia menjadi mangsa mana-mana serangan pengganas ataupun menjadi tempat berlindung pengganas.

“KPN perlu meyakinkan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Zakir amat dikehendaki pihak berkuasa India atas tuduhan melakukan penggubahan wang haram dan menyebarkan kebencian sehingga mencetuskan keganasan.

Beliau mendapat status pemastautin tetap di Malaysia. – 14 Disember, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen