Kes saman fitnah Zakir Naik terhadap Ramasamy didengar Mac


Bede Hong

Pendakwah India terkenal Zakir Naik bertindak memfailkan saman fitnah terhadap lima anggota DAP kerana didakwa mencemarkan nama baiknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 22 hingga 26 Mac tahun depan bagi pendengaran dua kes saman fitnah oleh Zakir Naik terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy.

Hakim Mohd Firuz Jaffril juga menetapkan 1 Mac untuk semua keterangan saksi difailkan. Pengurusan kes ditetapkan pada 13 Oktober tahun ini.

Lee Mei Xian, daripada Tetuan Ranjit Singh & Yeoh, mewakili Ramasamy sementara Akberdin Abdul Kader mewakili Zakir.

Dalam saman pertama, Zakir yang berusia 54 tahun menyaman ahli politik DAP itu kerana memanggilnya “Syaitan” dalam catatan Facebook pada 2017, dan kerana menulis artikel fitnah “Is Malaysia harbouring alleged fugitive Zakir Naik?”, diterbitkan oleh Free Malaysia Today pada tahun yang sama.

Ramasamy juga didakwa mencemarkan nama baik Zakir dengan mendakwa pendakwah Islam itu mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu rakyat Malaysia dalam satu ceramah di Kota Bharu, Kelantan, pada 11 Ogos tahun lalu.

Ramasamy didakwa menyebarkan kebencian terhadap Zakir secara global dalam wawancara dengan India Today pada 22 Ogos tahun lalu.

Dalam saman kedua, Ramasamy didakwa menyalahkan Zakir berhubung penahanan suspek Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada November tahun lalu. Sebilangan besar yang ditahan adalah anggota DAP.

Kedua-dua kes akan didengar bersama oleh mahkamah yang sama. Firuz seterusnya memerintahkan agar semua dokumen pra-perbicaraan difailkan pada Oktober.

Selain pampasan dan ganti rugi tauladan, Zakir meminta perintah menahan Ramasamy daripada menerbitkan dan menyebarkan laporan dalam sebarang medium yang menggambarkannya sebagai individu berkelakuan buruk.

Dalam kenyataan samannya, Zakir, yang berasal dari Mumbai, India, berkata beliau adalah “pendakwah terkenal” dan pemidato mengenai perbandingan agama, sambil menambah beliau pernah menerima anugerah termasuk Tokoh Maal Hijrah International Personality Award pada 2013.

Zakir juga bertindak menyaman ahli politik DAP yang lain - bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran dan Adun Bagan Dalam Satees Muniandy serta Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Dalam samannya, Zakir merujuk artikel yang diterbitkan oleh portal berita tempatan yang memetik ahli politik, dan menuduh mereka melabelnya sebagai ancaman keselamatan negara. – 21 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen