Sukarelawan buka kelas BM, BI ajar pelarian wanita Rohingya


Aminah Farid

WFR menjalankan kelas di sebuah rumah pangsa di Selayang, Kuala Lumpur dengan kira-kira 20 pelajar dan sembilan guru. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 6 Oktober, 2020.

PADA usia 36 tahun, dan selepas 10 tahun berada di Malaysia, pelarian Rohingya, Halimah tidak boleh membaca dan terpaksa menelan malunya setiap kali terpaksa meminta bantuan orang untuk membantunya membaca atau menulis sesuatu.

Tetapi akhir-akhir ini dia rasa lebih positif dan gembira, selepas mendaftar dalam kelas Bahasa Malaysia (BM) dan Inggeris (BI) yang ditawarkan oleh Women for Refugees (WFR), inisiatif ditawarkan baru-baru ini bertujuan memperkasakan pelarian wanita dengan mengajar mereka membaca dan menulis.

“Selepas ini, harapnya keadaan lebih mudah untuk saya. Saya tidak perlu ke sana sini minta bantuan orang untuk baca atau tulis untuk saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

WFR diasaskan sebulan lalu oleh dua pelajar jurusan undang-undang, Arissa Jemaima dan Davina Devajaran dengan bantuan ketua masyarakat pelarian, Abdul Razak Jalal.

WFR menjalankan kelas itu di sebuah rumah pangsa di Selayang, Kuala Lumpur dengan kira-kira 20 pelajar dan sembilan guru.

Kebanyakan pelajar adalah Rohingya atau pelarian Islam dari Myanmar.

Idea itu tercetus ketika Razak menemui Arissa, yang juga sukarelawan Agensi Bantuan Malaysia, meminta kelas berkenaan untuk wanita dalam masyarakatnya di Selayang.

“Saya membantu pelarian dengan menghantar mereka ke hospital dan beberapa perkara lain, di mana saya perasan mereka ada masalah dengan membaca dan mengisi borang,” kata Arissa, 23.

Beliau berkata pada masa sama Razak memintanya mengadakan program pembelajaran untuk pelarian wanita.

Kebanyakan wanita yang mengikuti kelas membaca WFR turut bawa anak ketika mereka belajar membaca dan menulis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 6 Oktober, 2020.

Razak memberitahunya wanita dalam masyarakatnya tidak ada pekerjaan dan hanya berada di rumah menjaga rumah tangga.

“Kami adakan undian di Instagram untuk mencari mereka yang berminat untuk mengajar pelarian dan ramai tampil. Ketika itu kami mula mengambil guru.

“Inisiatif ini bagi membantu memperkasa pelarian wanita dengan harapan mereka akan dapat menyesuaikan diri, jika mereka mahu mencari pekerjaan, atau memperoleh pendapatan,” katanya.

Razak, 50, yang juga pelarian dari Myanmar, berkata beliau mahu wanita dalam masyarakatnya untuk tahu nilai pendidikan.

“Sesetengah daripada mereka tidak boleh membaca atau menulis hingga menyukarkan untuk mereka bergerak ke mana-mana,” katanya.

Arissa dan Davina memberitahu The Malaysian Insight mereka ada cadangan untuk menambah matapelajaran lain sebaik saja pelajar mula dapat menguasai kedua-dua bahasa Malaysia dan Inggeris.

Guru WFR membuka kelas di dua lokasi, iaitu di sebuah bilik sewa kecil di kawasan Selayang di mana kebanyakan pelarian tinggal, dan satu lagi di rumah pelarian.

Arissa berkata bagi ruang sewa itu, pelarian menyumbang RM30 sebulan untuk membantu sewa bulanan RM250. Sumbangan individu itu juga bagi memastikan mereka komited terhadap program berkenaan. – 6 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen