Putrajaya digesa percepat keputusan benar pelarian bekerja


Ragananthini Vethasalam

Cadangan bagi membenarkan pelarian bekerja secara sah dibawa kepada perhatian kerajaan Pakatan Harapan lebih setahun lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2020

MALAYSIA tidak perlu menunggu untuk menjadi sebahagian daripada Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membenarkan pelarian bekerja secara sah, kata kumpulan Refugee Action for Change (ReAct).

Cadangan bagi membenarkan pelarian bekerja secara sah dibawa kepada perhatian kerajaan Pakatan Harapan lebih setahun lalu, namun keputusan itu ditangguhkan sejak bulan lalu untuk dikaji semula oleh jawatankuasa Kabinet.

ReAct, merupakan kumpulan yang diterajui pelarian dan disokong badan tanpa keuntungan Beyond Borders Malaysia dan Tenaganita, berkata pihaknya berharap penagguhan itu bagi memastikan pelaksanaan sistem komprehensif untuk pelarian bekerja.

“Kita tidak perlu menjadi sebahagian daripada konvensyen pelarian untuk melaksanakan undang-undang yang perlu bagi mengiktiraf dan menegakkan hak serta kebajikan pelarian di negara ini.

“Tidak syak lagi, proses itu perlu dirancang dengan baik, dan dasarnya dilaksanakan dengan cekap; jadi kami berharap penangguhan itu disebabkan untuk memastikan sistem komprehensif diperkenalkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight mengenai kajian berterusan kerajaan mengenai cadangan itu.

Kabinet sepatutnya membuat keputusan sama ada pelarian dibenarkan bekerja atau sebaliknya pada bulan lalu, sebagaimana yang dinyatakan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran sebelum ini.

Namun minggu lalu, beliau berkata jawatankuasa Kabinet yang terdiri daripada Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar dan timbalan perdana menteri sedang menyemak semula cadangan itu.

ReAct berkata, membenarkan pelarian bekerja secara sah akan memberi kesan signifikan kepada ekonomi negara, kerana golongan itu dapat mengisi jurang dalam pasaran buruh dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Setakat 30 September tahun lalu, terdapat 177,943 pelarian di Malaysia yang datang dari 57 negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2020.

“Dengan memberi kebenaran untuk bekerja, pelarian akan lebih bersedia, untuk menyara kehidupan keluarga mereka melalui pekerjaan yang sah, selain menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

“Populasi pelarian yang pelbagai di Malaysia datang dengan pelbagai kemahiran dan pengalaman, yang akan meyumbang kepada keperluan buruh negara.”

Setakat 30 September tahun lalu, terdapat 177,943 pelarian di Malaysia yang datang dari 57 negara. Lebih 150,000 daripadanya adalah dari Myanmar. Kumpulan terbesar seterusnya adalah dari Pakistan dan Yaman.

Malaysia bkan sebahagian daripada Konvenysen Pelarian 1951 dan tidak diwajibkan mengiktiraf pelarian secara sah.

Kerajaan PH dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 menyenaraikan menandtaangani konvensyen berkenaan sebagai salah satu daripada janjinya, namun ia masih belum ditunaikan.

Kini, pelarian yang bekerja di Malaysia tidak mendapat kebenaran sah untuk berbuat demikian, namun mereka yang mempunyai kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mendapat perlindungan terhad daripada ditangkap dan menerima akses asas kepada penjagaan kesihatan.

ReAct berkata, mereka yang bekerja sering dieksploitasi termasuk gaji dicuri, waktu kerja yang panjang dan tiada hari cuti rehat.

Majikan yang mengeksploitasi pelarian sering terlepas kerana kurangnya undang-undang dan hak untuk melindungi kumpulan ini.

Oleh itu, kewujudan undang-undang untuk bekerja bermakna perlindungan yang lebih baik daripada eksploitasi dan penyalahgunaan.

Namun, ReAct memberi amaran bahawa sistem dokumentasi untuk pekerja pelarian tidak boleh dibebankan.

“Sistem ini sepatutnya menjadi alat untuk dokumentasi pelarian dengan cekap, tanpa mengambil keuntungan dengan melaksanakan apa-apa proses yang akan menjamin kos yang tinggi untuk pelarian mencari pekerjaan, seperti sistem yang memerlukan pengeluaran pas pekerjaan.”

ReAct mengingatkan kerajaan PH mengenai janji pilihan rayanya untuk menandatangani Konvensyen Pelarian PBB, selain mewujudkan hak pelarian untuk bekerja di Malaysia.

“Hak untuk bekerja adalah hak asasi manusia yang termaktub dalam Deklarasi Universal mengenai Hak Asasi Manusia (UDHR). Hak untuk maruah kehidupan, yang juga digariskan dalam UDHR, pada hakikatnya juga termasuk keupayaan untuk bertahan dan mengekalkan kehidupan.”

Minggu lepas, naib pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Jerald Joseph memberitahu The Malaysian Insight bahawa Putrajaya sepatutnya mempunyai garis masa mengenai keputusannya berhubung pekerjaan pelarian, memandangkan cadangan itu telah dibangkitkan kepada kerajaan sejak 2018. – 16 Januari, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen