Jawatankuasa khas kaji langkah untuk benarkan pelarian bekerja  


Ragananthini Vethasalam

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata perbincangan turut akan diadakan dengan pihak berkepentingan termasuk UNHCR.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Januari, 2020.

JAWATANKUASA khas Kabinet akan mengkaji kemungkinan untuk membenarkan pelarian bekerja di Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Jawatankuasa berkenaan terdiri daripada Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian luar dan timbalan perdana menteri, katanya.

“Kerajaan sedang meneliti perkara itu, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri telah ditugaskan untuk menjalankan kajian berhubung perkara ini sebelum ia dipertimbang dan keputusan dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.

“Selepas itu ia akan dibawa ke Kabinet untuk mendapatkan kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu seminar hari ini.

Pertemuan juga akan diadakan bagi membincangkan perkara itu dengan semua pihak berkepentingan, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Tambah Kula, maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan akan dikumpul sebelum perubahan drastik dilaksanakan.

Menurutnya, kerajaan juga ingin memastikan tiada pelarian dieksploitasi, dan menambah undang-undang buruh sedia ada mungkin tidak cukup untuk melindungi mereka.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan akan memutuskan berhubung perkara itu pada Disember lalu. – 9 Januari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen