Pasaran getah dijangka meningkat minggu depan


Permintaan semakin meningkat selepas negara pengimport utama getah asli, China membuka semula industrinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2020.

HARGA getah Malaysia dijangka meningkat minggu depan berikutan jangkaan kenaikan permintaan ketara daripada China susulan bekalannya yang terhad, demikian menurut Pertubuhan Pengilang-Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma).

Presidennya, Denis Low berkata permintaan semakin meningkat selepas negara pengimport utama getah asli itu membuka semula industrinya.

“China dilihat mampu mengawal pandemik Covid-19 dan kini lebih terarah untuk membuka lebih banyak fasiliti pembuatannya.

“Ini sudah pasti memberi impak terhadap industri getah dan permintaan akan melonjakkan harga getah yang telah suram untuk tempoh yang lama,” katanya.

Menurutnya, musim hujan lebat di Malaysia pada masa ini turut menjadi faktor penyumbang kepada kenaikan harga komoditi itu.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah itu diniagakan bercampur-campur ketika sentimen pasaran dijejaskan oleh kenaikan kes jangkitan Covid-19 di peringkat global serta ketegangan baharu Amerika Syarikat-China.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Khamis, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 naik 22 sen kepada 524 sen sekilogram manakala lateks pukal menokok 3.5 sen kepada 460.5 sen sekilogram.

Untuk asas Jumaat hingga Rabu, harga rujukan LGM untuk SMR 20 pada 5 petang menokok 10.5 sen kepada 507.5 sen sekilogram manakala laktes pukal mengukuh 2.5 sen kepada 458.50 sen sekilogram. – Bernama, 1 Ogos, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen