Tambahan RM500 juta tidak membantu, kata petani, nelayan


Zaim Ibrahim

Nelayan kecewa dengan Belanjawan 2020 kerana elaun bulanan hanya naik RM50 sebulan sedangkan PH berjanji menaikkannya kepada RM450 sebulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2019.

WARGA petani dan nelayan kecewa dengan Belanjawan 2020 kerana peruntukan untuk beberapa segmen bawah Kementerian Pertanian walaupun ada peningkatan keseluruhan RM500 juta berbanding peruntukan tahun ini.

Belanjawan 2020 yang dibentang pada Jumaat memperuntukkan RM4.9 bilion untuk pertanian berbanding RM4.4 bilion bagi 2019.

Berdasarkan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2020, pertambahan RM500 juta itu bagaimanapun adalah untuk belanja mengurus.

Walaupun kementerian menerima kenaikan peruntukan RM500 juta, kumpulan petani dan nelayan mendapati program khusus untuk mereka dikurangkan, yang dikhuatiri akan menjejaskan pendapatan.

Antaranya, Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) yang kecewa dengan pengurangan peruntukan program perikanan daripada RM194 juta kepada RM180 juta.

Turut dibangkitkan adalah pengurangan dana pembangunan usahawan nelayan dan pengusaha daripada RM 400,000 kepada RM 350,000 untuk tahun depan.

Peruntukan untuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga terkesan dengan RM156 juta (2019) kepada RM143 juta (2020).

Malah, elaun bulanan nelayan hanya naik RM50 sebulan sedangkan PH berjanji menaikkannya kepada RM450 sebulan, kata Timbalan Pengerusi Jaring Mohd Faizal Mohd Zabri.

“Kerajaan dahulu beri elaun bulanan RM300, kemudian (PH) turunkan RM200. Sekarang naik pun RM250 masih sedikit.

“Mana peruntukan yang kerajaan beri dahulu? Semasa kempen pilihan raya, PH pernah berjanji untuk naikkan elaun bulanan kepada RM450 tapi sampai sekarang belum ada,” katanya.

Kerajaan juga sepatutnya menaikkan belanjawan untuk program perikanan untuk membantu meningkatkan pendapatan nelayan namun perkara itu tidak berlaku, Mohd Faizal, 37.

“Program perikanan ini merangkumi latihan nelayan dan penternak ikan, pemberian anak benih ikan dan sangkar ikan,” katanya.

Malah Belanjawan 2020 juga tidak memperincikan dana khusus untuk mengatasi masalah sumber ikan yang semakin berkurangan di pantai barat Semenanjung Malaysia

“Sedangkan, Jabatan Perikanan mengatakan stok ikan semakin merosot dan sumber hasil laut mampu bertahan 30 tahun saja lagi jika tidak dikawal dengan baik,” kata nelayan Teluk Bahang itu.

Jabatan Perikanan menyatakan kemerosotan itu serius kerana stok ikan seperti gelama, sotong, kerisi, dan udang menyusut daripada 473,345 tan metrik kepada 21,002 tan metrik sahaja.

Peningkatan RM500 juta kepada Kementerian Asas Tani dan Pertanian (MOA) kepada RM4.4 billion itu antara lain meliputi kenaikan kos pengurusan.

Pada masa sama, peruntukan bagi beberapa agensi kerajaan dan program pertanian dikurangkan untuk 2020.

Peruntukan bagi industri padi dan beras juga menurun sedikit iaitu daripada RM69.2 juta (2019) kepada RM66.1 juta (2020). – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2019.

Selain peruntukan untuk nelayan dan perikanan, peruntukan bagi industri padi dan beras juga menurun sedikit iaitu daripada RM69.2 juta (2019) kepada RM66.1 juta (2020).

Pembangunan industri tanaman makanan juga dikurangkan daripada RM47.2 juta kepada RM27 juta.  

Kenaikan yang dapat dilihat adalah bagi input padi, sebanyak RM55 juta daripada RM796 juta (2019) melalui Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan dan Skim Insentif Pengeluaran Padi.

Subsidi baja padi juga dinaikkan daripada RM232 juta (2019) kepada RM395 juta.

Namun petani Kedah dan Perlis berharap, subsidi berkenaan akan dapat disalurkan dengan lebih berkesan agar tidak membebankan seperti yang berlaku sebelum ini.

Petani dalam kawasan lembangan ditadbir Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) ini berkata bantuan lambat disalurkan tahun ini dan hanya diterima pada akhir musim menuai.

Pengerusi Badan Bertindak Mada, Che Ani Mat Zain, 64, berkata penyaluran subsidi yang cepat ini akan membolehkan mereka menanam padi dengan lebih cepat.

“Apabila lambat seperti yang berlaku tahun ini, ada petani terpaksa guna duit sendiri, dan ada juga tidak sempat (menanam padi) apabila menuju penghujung musim tuai padi,” tambah beliau.

Oleh itu kerajaan perlu memberi perhatian pada perkara itu untuk mengelak daripada menanggung kerugian.

Sukar stabil harga getah

Warga pengusaha getah pula mengeluh kerana tiada sebarang peruntukan khas diumumkan bagi Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi 2020.

Persatuannya menyebut, keadaan ini akan menyukarkan usaha menstabilkan harga getah dengan menjadikan LGM sebagai orang tengah untuk membeli hasil.

Pengusaha getah pula mengeluh kerana tiada sebarang peruntukan khas diumumkan bagi Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2019.

Menurut Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Kedah, ia dicadangkan kepada LGM sebelum ini namun lembaga itu tiada peruntukan untuk berbuat demikian.

Presidennnya, Jhangir Khan Kathan berkata tanpa peruntukan LGM seperti RM10 juta pada tahun lalu, skim untuk pembangunan dan kualiti getah juga tidak dapat dijalankan kerana tiada imbuhan.

Bagaimanapun, pekebun kecil berkenaan mendapat manfaat RM100 juta bagi Insentif Pengeluaran Getah dan penoreh pula menerima Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM 200 juta untuk 2020.

Keseluruhan warga petani, nelayan dan pekebun kecil juga mendapat peruntukan RM150 juta sebagai galakan program tanaman kontan untuk menambah pendapatan. – 13 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen