Peneroka Felcra Kelantan gesa kerajaan negeri henti tebang pokok getah


Kira-kira 720 pokok getah membabitkan keluasan 1.6 hektar tanah sudah ditebang pihak kontraktor yang dilantik kerajaan negeri Kelantan sejak bulan lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2019.

SEMUA 348 peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Bukit Tandak, Rantau Panjang meminta kerajaan negeri memberhentikan proses penebangan dan pengeluaran kayu getah sehingga kes tuntutan berkaitan tanaman itu selesai di mahkamah.

Peguam, Mohd Nasir Abdullah yang mewakili peserta Felcra berkata peserta selaku plaintif sudah menfailkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada tiga defendan iaitu Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan dan kerajaan negeri pada 13 September 2018.

Beliau berkata plaintif telah permohonan injuksi interim pada 23 Disember 2018 bagi memohon supaya mahkamah mengarahkan defendan memberhentikan proses pengeluaran kayu getah sehingga kes saman selesai.

“Bagaimanapun, defendan menfailkan permohonan untuk membatalkan writ saman berkenaan sebelum mahkamah membuat keputusan bagi perbicaraan itu yang ditetapkan pada 17 November ini,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata plaintif tidak mempertikaikan isu tanah kerana mahkamah telah memutuskan ia memihak kepada kerajaan negeri dan dianggap sudah selesai.

“Tuntutan yang dibuat ketika ini adalah berkaitan hak ke atas pokok getah yang mana kos penanaman sebanyak RM5.8 juta ditanggung sepenuhnya oleh plaintif tidak pernah diputuskan mahkamah sebelum ini.

“Persoalannya di sini, bagaimana jika mahkamah memutuskan tuntutan kes membabitkan pokok getah berpihak kepada plaintif sedangkan pokok sudah habis ditebang dan dijual?,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 720 pokok getah membabitkan keluasan 1.6 hektar tanah sudah ditebang pihak kontraktor yang dilantik kerajaan negeri sejak bulan lepas.

Dalam pada itu katanya, plaintif juga melahirkan kekesalan berikutan keengganan kerajaan negeri berada di meja rundingan bagi membincangkan isu penebangan pokok getah itu termasuk sesi perbincangan dengan timbalan menteri besar yang juga telah ditolak.

Katanya, plaintif yakin dan percaya bahawa mahkamah adalah saluran yang betul dalam menentukan persoalan fakta dan undang-undang berkaitan hak ke atas pokok yang menjadi isu pada ketika ini.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 348 peserta tersebut kesal dengan tindakan kerajaan negeri menebang beberapa ekar kebun getah yang diusahakan mereka sejak 1980. – Bernama, 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen