Salleh Keruak sahkan mohon sertai semula Umno


Salleh Said Keruak membatalkan permohonannya menyertai PKR pada April lalu selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2020.

BEKAS bendahari Umno Salleh Said Keruak hari ini mengesahkan beliau memohon untuk menyertai semula Umno.

Beliau berkata permohonan itu dibuat pada 26 Mei lalu melalui Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Salleh yang juga bekas ketua menteri Sabah berkata beliau membuat keputusan itu setelah merenung kembali keputusannya sebelum ini termasuk keluar daripada Umno secara “en-bloc” pada 12 Disember 2018 yang kini dianggapnya sebagai satu kekhilafan.

“Kini saya menyerahkan kepada Umno khususnya Presiden (Ahmad Zahid Hamidi), Majlis Tertinggi dan Ketua Umno Sabah diketuai oleh Bung Moktar Radin untuk menimbang permohonan tersebut.

“Saya berhasrat untuk menyumbang sepenuh usaha dan tenaga saya bersama Umno dalam meneruskan agenda perjuangan membina negara Malaysia yang tercinta,” kata Salleh dalam catatan terbaharu blog beliau sallehsaid.com.

Semalam, Bung Moktar memaklumkan pihaknya sudah menerima surat permohonan Salleh untuk menyertai semula Umno, dan permohonan itu sedang dipertimbang dan diperhalusi untuk kelulusan.

Terdahulu, Salleh memaklumkan beliau membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR pada April lalu selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.

Salleh yang juga bekas menteri komunikasi dan multimedia memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu selepas beliau bersama sebilangan besar pemimpin Umno Sabah bertindak keluar parti pada Disember 2018. – Bernama, 1 Julai, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen