Anwar nafi PKR sudah terima Salleh jadi ahli


Mohd Farhan Darwis

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata proses mengenai permohonan bekas menteri Salleh Said Keruak masih berjalan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Oktober, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim menafikan partinya sudah menerima penyertaan bekas menteri Kabinet Umno, Salleh Said Keruak.

Anwar berkata, walaupun PKR Sabah dikatakan sudah menerima penyertaan bekas ketua menteri Sabah itu, keputusan akhir masih akan diputuskan pimpinan pusat parti.

“Belum…kita ada proses masih berjalan, kita akan dengar, PKR Sabah kalau dia setuju, dia bawa kepada kita, kita kena mesyuarat dulu, kita belum putuskan,” kata Anwar.

Anwar juga mengulangi kenyataannya semalam bahawa PKR akan sentiasa meminta pandangan daripada pimpinan cabang dan negeri sebelum membuat keputusan berkatan isu berkenaan.

“Kita ambil keputusan dan selalunya kita tanya pendapat cabang dan negeri,” kata Anwar lagi.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan permohonan Salleh untuk menyertai PKR sebenarnya sudahpun diluluskan.

Menurut sumber, antara tarikh yang dipertimbangkan untuk mengumumkan penyertaan Salleh adalah sewaktu Konvensyen PKR Sabah pada Isnin.

“Biro politik pada mesyuarat Jumaat lepas (18 Oktober) telah terima (luluskan) permohonan Salleh tetapi tarikh umum belum ditentukan.

“Mungkin juga akan diumumkan dalam kongres PKR Sabah pada 29 Oktober ini,” kata sumber yang enggan dinamakan itu lagi.

Satu lagi sumber yang dekat dengan Salleh juga mengesahkan permohonannya diterima oleh PKR.

“Permohonan sudah terima. Cuma tunggu masa hendak diumumkan,” kata sumber tersebut yang juga enggan namanya disebut.

PKR Sabah pada Jumaat yang mengalu-alukan penyertaan bekas ketua menteri Sabah tersebut ke dalam parti.

Pengerusi PKR Sabah Christina Liew dalam satu laporan menyebut, Salleh diterima masuk ke dalam parti itu jika sanggup mengenepikan prinsip Umno.

Imej tangkap layar menunjukkan kelulusan permohonan keahlian atas talian Salleh tersebar sejak minggu lalu.

Imej menunjukkan status “Diluluskan” itu turut memaparkan nombor keahlian yang didakwa didaftarkan pada 25 Ogos.

Salleh yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Belud dalam Pilihan Raya Umum ke-14 meninggalkan Umno bersama sebahagian besar pemimpin parti tersebut di Sabah pada Disember tahun lalu. – 27 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen