Pengajaran dari Kimanis


AHLI-AHLI politik, pemerhati-pemerhati politik dan penganalisa-penganalisa politik nampaknya terlepas pandang satu fakta penting: tiada siapa pun benar-benar tahu apa yang akan dilakukan oleh pengundi, dan bahawa kita harus bersedia untuk menghadapi kejutan. PRK Kimanis adalah satu contoh yang tepat.

Pakar-pakar biasanya terbahagi kepada dua, iaitu sama ada politik adalah 1) didorong oleh parti, dan 2) didorong oleh matlamat perjuangan. Kebanyakan pengundi didorong oleh matlamat perjuangan dan tidak akan berkompromi kerana mereka meletakkan matlamat perjuangan di atas kepentingan parti.

Bagi rakyat Sabah, isu tempatan adalah lebih penting daripada isu nasional. Atas sebab inilah pengundi di negeri-negeri majoriti Melayu di Semenanjung boleh bertukar daripada menyokong satu parti ke parti yang lain demi memperjuangkan matlamat.

Di sekolah kewartawanan kita diajar bahawa akhbar yang melaporkan satu pembunuhan di dalam negara kita sendiri akan terjual lebih laris daripada akhbar yang melaporkan 100 pembunuhan di negara yang 10,000 km jauhnya dari kita.

Ini bermakna apa yang berlaku di sekeliling kita adalah lebih penting daripada apa yang berlaku jauh dari kita. Analogi ini membayangkan fikiran pengundi.

Secara tradisinya, generasi muda di serata dunia adalah “anti-establishment”. Pembangkang semalam adalah kerajaan hari ini, maka mereka yang telah mengundi anda semalam akan mengundi lawan anda hari ini.

Ingatlah juga bahawa harapan dan jangkaan generasi muda adalah sangat tinggi. Generasi yang lebih tua memiliki semangat kesetiaan yang tinggi, namun sebaliknya generasi muda tidak merasakan mereka terhutang budi kepada kerajaan.

Mereka melihat kerajaan sebagai penyedia perkhidmatan, dan jika anda gagal menawarkan perkhidmatan yang baik, mereka tidak akan teragak-agak untuk menolak anda.

Memenangi hati dan minda pengundi, terutamanya pengundi muda, adalah lebih sukar hari ini. Fakta ini harus diberikan perhatian dan kita harus mencari jalan untuk menanganinya dengan baik. – 20 Januari, 2020.

*Salleh Said Keruak adalah bekas menteri komunikasi dan multimedia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen