Akar umbi PKR terbuka terima Salleh Said Keruak


Nabihah Hamid

Bekas menteri BN Salleh Said Keruak sebelum ini pernah menyatakan PKR adalah parti yang sesuai dengan politik di Sabah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2019.

AKAR umbi PKR di Sabah mula berlapang dada sedia menerima bekas menteri Barisan Nasional (BN) Salleh Said Keruak menyertai parti itu, berbanding ketika berita mengenainya mula tersebar awal bulan ini.

Mereka yang tiga minggu lalu terkilan tidak dirunding mengenainya kini yakin keanggotaan Salleh dalam PKR akan menguntungkan parti itu di Sabah.

Mereka melihat pengalaman serta pengaruhnya sebagai bekas menteri persekutuan dan bekas ketua menteri boleh mengukuhkan lagi PKR.

“Pengalaman dia pernah jadi ketua menteri, speaker malah dia tahu mengenai keseluruhan negeri Sabah… pengalaman ini boleh menjadikan Keadilan lebih kuat,” kata Timbalan Ketua Cabang Keningau, Antako Rasam kepada The Malaysian Insight.

Jelas Antako, dalam isu keahliannya, Salleh bukan seperti pemimpin lain yang melompat sebagai wakil rakyat, sesuatu yang lazim dalam politik di Sabah.

“Beliau bukan lompat sebagai Adun atau ahli parlimen. Saya yakin beliau akan bermula dari bawah,” tambahnya.

Pemimpin akar umbi PKR di Sabah melihat Salleh yang tidak memegang sebarang jawatan jujur mahu menyertai parti tanpa sebarang tuntutan.

Salleh baru-baru ini menjelaskan beliau tertarik menyertai PKR untuk menyebarkan politik progresif berbilang kaum yang sesuai dengan keadaan di Sabah.

Salleh adalah Ketua Menteri Sabah antara 1994 dan 1996 ketika amalan sistem penggiliran jawatan itu, susulan tolak ansur politik dalam BN.

Pada pilihan raya umum yang lalu, beliau bertanding kerusi Parlimen Kota Belud atas tiket Barisan Nasional tetapi kalah kepada anak saudaranya Isnaraissah Munirah Majilis dari Parti Warisan Sabah.

Isnaraissah sekarang Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar di Putrajaya.

Salleh adalah antara lima ahli Parlimen, sembilan wakil rakyat negeri dan 21 ketua bahagian Umno Sabah yang keluar Umno pada Disember lalu. Beliau kemudian jadi penasihat Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (Usbo) yang diketuai seorang lagi bekas pemimpin Umno, Pandikar Amin Mulia.

Ketua sayap Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar bagaimana mengingatkan Salleh untuk “melupakan politik lama” demi melaksanakan agenda reformasi yang diperjuangkan oleh parti.

“Salleh nak masuk kita hormat kerana yang penting beliau sedia dan lupakan politik lama dan bersama-sama Keadilan.

“Salleh punyai pengalaman cukup luas. Kita perlu komitmen untuk beliau mengenali dan ketahui inti pati perjuangan Keadilan,” katanya yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan AMK Sabah Razeef Rakimin berkata pimpinan parti sebelum ini kurang bersetuju Salleh masuk parti kerana hendak menjaga kedudukan masing-masing.

Namun beliau yakin Salleh bukannya hendak merebut jawatan tetapi sedia bermula dalam PKR dari bawah.

“Kalau betul ingin berjuang reformasi, pintu PKR sentiasa terbuka untuk terima,” katanya, yang mengakui Salleh pemimpin yang berpengaruh dan kalah tipis dalam pilihan raya di Kota Belud.

“Salleh ada ketokohan sendiri. Silapnya dulu, dia dibayangi Najib Razak. Tetapi dia juga tiada skandal kerana dia orang jujur dan lurus.”

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Negeri, Stefly Said pula berpendapat Salleh boleh menyumbang untuk meluaskan pengaruh PKR pada pilihan raya akan datang.

“Saya mengalu-alukan beliau yang berpengalaman apatah lagi dalam Keadilan kita tak terima Adun dan ahli parlimen. Apa yang saya lihat pengaruh beliau memang kuat di akar umbi. Beliau juga ada pengalaman pilihan raya.

“Saya yakin dan percaya beliau boleh bantu untuk pilihan raya umum ke-15 dengan pengalaman yang ada,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun mereka berkata pada akhirnya terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk menilai keanggotaan Salleh.

Awal minggu ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata parti tiada masalah untuk menerima Salleh namun keahliannya harus mengikut prosedur dan masih dalam perbincangan.

“Kita kena faham proses keahlian. Siapa saja yang memohon secara automatik sudah jadi ahli, namun untuk yang ada nama (seperti Salleh) kita perlu minta pandangan dari cabang,” katanya.

Salleh dalam reaksinya berkata beliau memahami peraturan parti dan berharap diberi peluang untuk memberikan sumbangan demi politik progresif berbilang kaum.

“Saya turut akan memberikan komitmen serta kerjasama dengan parti dalam menjayakan agenda reformasi dan politik perubahan demi kebaikan rakyat.

“Saya menyerahkan kepada parti untuk berbincang dan mempertimbangkan permohonan saya,” tulisnya di blog. – 1 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen