Tiada masalah untuk terima Salleh, kata Anwar


Diyana Ibrahim

Awnar Ibrahim berkata mengikut prosedur, Salleh Said Keruak sudahpun menjadi ahli PKR secara automatik namun pemimpin pusat memutuskan agar perkara itu dibincangkan terlebih dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2019.

TIADA masalah bagi PKR untuk menerima bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak menyertai parti itu, kata presidennya Anwar Ibrahim.

Beliau berkata mengikut prosedur, bekas menteri Umno itu sudahpun menjadi ahli PKR secara automatik namun pemimpin pusat memutuskan agar perkara itu dibincangkan terlebih dahulu.

Jelasnya, ia tidak bermaksud PKR menolak permohonan Salleh namun pimpinan parti mahu mengambil kira sentimen dari akar umbi dahulu.

“Kita kena faham proses keahlian. Siapa saja yang memohon secara automatik sudah jadi ahli, namun untuk yang ada nama (seperti Salleh) kita perlu minta pandangan dari cabang.

“Tapi saya, PKR secara peribadinya tidak ada masalah nak terima cuma sekarang kita kena ambil kira sentimen akar umbi yang mana saya jangkakan tidak ada masalah dengan itu,” katanya.

Dalam sidang media selepas program Konvesyen PKR di Sabah itu, Anwar berkata Salleh juga turut dimaklumkan mengenai proses tersebut.

“Salleh sudah dimaklumkan. Sebab sekarang ini kita berdepan dengan proses jadi kena hormatlah proses itu, kita tidak tergesa-gesa soal ini,” katanya.

Tambahnya, tiada sebab untuk PKR mengecualikan menerima permohonan Salleh kerana parti itu memang dari dulu menerima sesiapa rakyat termasuk bekas Umno.

Anwar berkata latar belakang Salleh sebagai orang kuat Najib Razak tidak menjadi masalah kerana kini bekas pemimpin itu dilihat komited dengan perjuangan PKR.

Katanya PKR juga menerima seorang lagi bekas pemimpin BN, Christine Liew yang juga kuat menyokong bekas perdana menteri itu sebelum ini.

“Kita ambil kira juga pandangan, memang ada pandangan macam Christine Liew yang kata beliau orang kuat Najib dulu tapi kini Salleh komited dalam perjuangan parti.

“Saya sendiri pun dulu ahli Umno yang komited tapi apa yang kita (PKR) tidak boleh toleransi, ialah ahli itu kena dekat dengan agenda reform (perubahan) mereka kena terima hakikat itu,” tegasnya.

The Malaysian Insight semalam melaporkan permohonan bekas menteri Umno untuk menyertai PKR sebenarnya sudahpun diluluskan.

Sumber yang rapat dengan pemimpin tertinggi parti menyebut, antara tarikh yang dipertimbangkan untuk mengumumkan penyertaan Salleh adalah sewaktu kongres PKR Sabah. – 28 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen