Warga tempatan enggan kerja di Pasar Borong KL  


Angie Tan

Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang berdepan masalah kekurangan pekerja kerana warga tempatan enggan bekerja di situ.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2020.

WARGA tempatan menolak tawaran kerja di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang walaupun ditawarkan bayaran RM100 sehari. 

Ini menyebabkan kekurangan tenaga kerja di pasar besar berkenaan yang membekalkan sayur-sayuran dan makanan laut ke pasar-pasar lain di Lembah Klang dan negeri jiran. 

Peniaga memberitahu The Malaysian Insight, mereka kini berdepan kesukaran untuk menggantikan pekerja asing selepas mereka disekat oleh pihak berkuasa dalam usaha mencegah penularan pandemik Covid-19. 

Menurut mereka, walaupun mereka tawarkan gaji bulanan yang sama dengan lepasan universiti, warga tempatan masih tidak berminat untuk bekerja dalam persekitaran 3D (bahaya, kotor, sukar).

Menurut laporan Jabatan Perangkaan baru-baru ini, kadar pengangguran di Malaysia meningkat 17.1% pada Mac berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, 

Peratusan itu meningkat daripada 521,300 penganggur pada Mac tahun lalu kepada 610,500 orang pada bulan yang sama tahun ini. 

Menurut peniaga, maklum balas diterima sebelum ini memang baik, namun pekerja tempatan tidak tahan dengan persekitaran dan beban kerja, dan kebanyakan mereka tidak mampu bertahan walau sehari dan ada yang berhenti selepas beberapa jam diambil bekerja. 

Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt memberitahu The Malaysian Insight, beliau menerima banyak panggilan, namun kebanyakan mereka terlalu tua dan tinggal jauh dari pasar di Selayang. 

“Kita turut bekerjasama dengan Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran untuk mencari pekerja dari kumpulan B40,” kata Wong. 

“Beliau perkenalkan lebih 50 orang, namun setakat ini hanya dua orang yang kekal.”

Menurut peniaga, warga tempatan tidak tahan dengan beban kerja serta persekitaran pasar yang basah dan busuk.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2020.

Wong berkata, beliau kecewa dengan maklum balas itu kerana orang tempatan enggan bekerja di pasar berkenaan. 

“Mereka (warga tempatan) perlu ubah mentaliti. Kita terlalu bergantung kepada pekerja asing sebelum ini. Penduduk tempatan fikir kerja ini adalah untuk pekerja asing.”

Beliau berkata, sebelum ini warga asing terdiri daripada 90% pekerja di pasar borong berkenaan sebelum Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengharamkan peniaga daripada mengambil mereka bekerja. 

“Dianggarkan 3,000 pekerja tempatan diperlukan untuk memenuhi kekosongan di pasar borong, namun ia tidak dapat dipenuhi dalam masa yang singkat.”

Awal bulan ini, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, warga asing tidak dibenarkan bekerja di pasar borong selepas peningkatan kes Covid-19. 

Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur, Sing Kian Hock memberitahu The Malaysian Insight, bukan peniaga yang enggan menggaji penduduk tempatan, tetapi mereka yang tidak dapat menyesuaikan diri. 

“Sekiranya situasi ini berterusan, sukar untuk operasi pasar borong pulih,” kata Sing. 

“Walaupun kita dapat pekerja yang baik dan melatih mereka, ia akan memakan masa enam bulan untuk perniagaan kembali stabil.”

Sing berkata, beliau menggaji sekumpulan warga tempatan, namun dalam masa sebulan, kurang 10 yang tinggal. 

“Mereka dilihat tidak dapat menyesuaikan diri dengan kerja, terutamanya jika kita juak ikan. Kita perlu bekerja waktu malam, mengangkat ikan seberat 100 hingga 200 kilogram ikan. Tempat kerja berbau busuk dan basah.”

Beliau berkata, kerajaan tidak sepatutnya mengharamkan semua pekerja asing daripada bekerja di pasar kerana ia menyebabkan kekurangan pekerja, dan menambah terdapat juga isu keselamatan.

“Kerajaan belum hantar pulang semua pekerja tanpa dokumen. Apa perlu kita buat jika mereka tinggal?

“Kita akan berdepan isu keselamatan sekiranya mereka tiada kerja,” katanya. 

Hanya pekerja asing yang mampu bertahan untuk bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2020.

Terdapat 448 peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur dengan 168 gerai menjual ikan, 216 gerai menjual sayur-sayuran dan 64 gerai menjual buah-buahan. 

Presiden Persatuan Pemborong Buah-Buahan Kuala Lumpur Chin Nyuk Moy berkata, berbanding gerai ikan dan sayur-sayuran, gerai buah-buahan masih bersih dan senang untuk bekerja.

“Apabila pelanggan membeli buah, kita hanya beritahu pekerja untuk angkat barangan atau tolak dalam troli ke tempat parkir. 

“Sekiranya tiada pelangganm kebanyakan mereka hanya duduk saja, tanpa buat apa-apa.”

Chin bagaimanapun berkata, sukar untuk bekerja di gerai buah kerana sekotak epal atau oren beratnya sekurang-kurangnya 15 hingga 20 kilogram.

“Kotak itu perlu dialihkan secara fizikal. Penduduk tempatan tidak boleh angkat berat.”

Menurutnya, gaji yang ditawarkan adalah antara RM80 hingga RM100, dan gaji bulanan boleh mencecah RM2,600. 

“Kita ada panggil orang tempatan, namun maklum balas tidak bagus. Hanya orang tua berusia 60 tahun ke atas yang datang minta kerja tetapi kita bimbang dengan masalah kesihatan mereka,” kata Chin kepada The Malaysian Insight.

“Pekerja muda lebih memilih untuk kerja di khidmat penghantaran dan bekerja di restoran makanan segera dan pasar raya, yang mana gajinya antara RM1,300 dan RM1,500 sebulan.   

“Ini lebih rendah daripada apa yang kita tawarkan, namun malangnya hanya sikit yang terima.”

Chin berkata sekiranya peniaga masih sukar untuk menggaji pekerja tempatan, maka mereka perlu gesa kerajaan untuk benarkan pekerja asing tanpa dokumen bekerja. 

Namun katanya, buat masa ini sukar kerana kerajaan meningkatkan operasi terhadap pekerja asing tanpa dokumen sejak awal tahun lalu. 

Pasar Borong Kuala Lumpur diarahkan tutup untuk disinfeksi berikutan Covid-19, dan menyambung operasi pada 24 April. 

Bagaimanapun kata Chin, hingga kini kebanyakan peniaga masih berdepan masalah kekurangan pekerja.

“Memandangkan perniagaan tidak sebagus seperti sebelum ini, ada yang masih menunggu untuk membuka semula perniagaan.”

Wong berkata, kebanyakan peniaga belum mula perniagaan kerana tiada pekerja. 

“Terdapat hanya sedikit gerai dan pilihan bekalan yang sedikit. Secara beransur-ansur, kebanyakan pelanggan akan memilih untuk pergi ke tempat lain.”

Sing mengatakan bahawa walaupun jumlah kes Covid-19 telah berkurang, Selayang masih merupakan zon merah, jadi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur masih mengawasi daerah tersebut.

“Semua yang datang perlu jalani ujian, jadi kebanyakan orang enggan mengambil risiko dan memilih untuk beli barang di tempat lain.”

Wong berkata oleh kerana kurang pekerja dan kesan daripada pandemik, ia dianggarkan akan mengambil masa setahun untuk pasar itu pulih.– 21 Mei, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen