Peniaga Pasar Borong KL berdepan masalah kos ujian Covid-19 pekerja


Ravin Palanisamy

Ketika ini hanya 50 daripada 216 peniaga di Pasar Borong KL yang berniaga disebabkan kekurangan pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2020.

SUDAHLAH kekurangan tenaga kerja, peniaga di Pasar Borong KL di Selayang kini berdepan satu lagi masalah terpaksa menampung kos ujian saringan Covid-19 bagi pekerja baharu mereka.

Mereka mendapat kebenaran meneruskan perniagaan di pasar berkenaan tetapi perlu mengambil pekerja tempatan susulan kebanyakan pekerja mereka adalah warga asing yang tinggal dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan tamat Ahad ini.

Kerajaan meletakkan Pusat Bandar Utara, Selayang dan kawasan sekitar Pasar Borong KL dibawah PKPD bermula 20 April lalu.

Pasar Borong KL diarahkan tutup sempat hari sehingga 23 April bagi memberi laluan kepada operasi nyah cemar selepas tujuh peniaga dan 17 pekerja diuji positif Covid-19. 

Ketika ini hanya 50 daripada 216 peniaga di pasar itu yang berniaga disebabkan kekurangan pekerja.

Beberapa peniaga yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka dikehendaki menghantar pekerja baharu menjalani ujian saringan Covid-19 di pusat perubatan swasta yang menelan kos lebih RM400 seorang. Hanya individu yang diuji negatif dibenarkan diambil bekerja.

Pasar Borong KL beroperasi semula pada 23 April selepas ditutup selama empat hari bagi memberi laluan kepada operasi nyah cemar selepas tujuh peniaga dan 17 pekerja diuji positif Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2020.

Setiausaha Persatuan Pemborong Sayuran Kuala Lumpur Law Tek Kim berkata syarat ini menambahkan lagi beban kepada peniaga yang sudahpun terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kalau kami ambil pekerja tempatan dari luar, mereka perlu jalani ujian di hospital swasta kerana hasil ujian boleh dapat lebih cepat.

“Saya dapat cari beberapa orang, tetapi peniaga mesti tanggung kos ujian dan hasilnya mesti negatif. Kalau ujian positif, duit hangus.

“Jadi, ini menyebabkan masalah tak cukup pekerja di pasar dan buat masa ini hanya 50 kedai saja yang dibuka,” kata Law.

The Malaysian Insight semalam melaporkan bekalan sayur tempatan dijangka berkurang teruk dalam tempoh beberapa minggu lagi kerana petani di Cameron Highlands terpaksa mengurangkan tanaman kerana gangguan dalam rantaian pembekalan.

Gangguan rantaian bekalan itu berlaku kerana peraturan pengurusan operasi baharu di Pasar Borong KL yang merupakan hab logistik utama sayur-sayuran di negara ini.

Kekurangan bekalan sayur itu berkemungkinan besar akan meningkatkan harga sebanyak 40% di Kuala Lumpur dan Selangor, kata petani dan pemborong.

Law, 55, yang sudah 30 tahun berniaga di Pasar Borong KL berkata kebiasaannya beliau menggaji enam pekerja. Tetapi selepas kerajaan meletakkan syarat supaya hanya mengambil pekerja tempatan, Law berhenti mengambil pekerja buat sementara waktu ekoran masalah kos ujian saringan Covid-19. – 1 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen