Harapan kelam peniaga pasar borong di Selayang


Khoo Gek San

Permintaan sayur dan ikan merosot, kekurangan pekerja dan pelanggan enggan ke pasar kerana bimbang dijangkiti Covid-19, antara masalah dihadapi peniaga pasar borong di Selayang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2020.

JANGKITAN Covid-19 yang mendorong peniaga dan restoran memilih perkhidmatan bungkus menjejaskan permintaan bagi sayur dan ikan segar dari pasar borong Kuala Lumpur di Selayang yang menjadi pembekal kepada kebanyakan pasar di Lembah Klang.

Persatuan peniaga sayur dan ikan memberitahu The Malaysian Insight, pelanggan mengelak pergi ke pasar di Lembah Klang selepas diumumkan peniaga perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum masuk ke pasar borong Kuala Lumpur di Selayang.

Ini berlaku selepas peniaga dari pasar lain di Lembah Klang dijangkiti virus selepas mengunjungi pasar borong KL.

Sehingga semalam, 29 daripada 80 kes koronavirus yang dikesan di luar pasar borong KL adalah dari empat pasar awam di Selangor dan Negeri Sembilan.

Presiden Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seng Kuala Lumpur, Sing Kian Hock berkata ramai peniaga ikan mula beroperasi pada Isnin malam tetapi perniagaan merosot sekitar 90%.

“Selepas pasar Selayang ditutup kembali, hanya sekitar 30% peniaga makanan laut yang membuka perniagaan. Pada Isnin malam, 20% lagi peniaga ikan memutuskan untuk berniaga.

“Tetapi pada Selasa, perniagaan semakin buruk, pelanggan membeli kurang 20% daripada jumlah biasa.

“Keputusan kerajaan membenarkan restoran dibuka tidak banyak membantu penjualan kami. Jadi, peniaga harus menilai sendiri risiko dan berapa banyak stok yang perlu dibeli,” kata Sing kepada The Malaysian Insight.

Putrajaya membenarkan kebanyakan perniagaan, termasuk restoran, dibuka semula pada Isnin. 

Namun, berita itu muncul ketika penutupan kawasan di sekitar pasar borong Selayang dan beberapa peniaga di sana diuji positif Covid-19.

Setakat ini, hanya tiga negeri - Perlis, Melaka dan Terengganu - yang melonggarkan sekatan perniagaan mengikut perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Di bawah sekatan yang longgar, kebanyakan perniagaan dibenarkan beroperasi semula dengan garis panduan kesihatan yang ketat, dan restoran dibenarkan untuk menerima pelanggan makan.

“Peniaga ikan hanya dapat menjual dengan harga diskaun pada keesokan harinya, tetapi walaupun begitu, makanan laut rosak cepat dan kita harus membuangnya selepas ia mula berbau,” kata Sing.

Pekerja Alam Flora menjalankan proses pembersihan dan pembasmian kuman di pasar Selayang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2020.

Beliau juga berkata peniaga makanan laut hanya boleh bertindak mengikut keadaan, dan memandangkan warga asing tidak dibenarkan bekerja di pasar pada masa ini, ia mungkin memerlukan masa hingga dua bulan untuk pasaran borong Selayang kembali ke zaman sebelum PKP.

“Kami berada di sini sejak beberapa dekad. Tetapi pandemik ini menyebabkan huru-hara. Ketika pertama kali bermula, penjualan mula menurun, dan sekarang hampir tiada,” kata Sing.

Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Wong Keng Fatt juga berkata membenarkan restoran dibuka untuk menerima pelanggan makan tidak banyak memberi kesan kepada peniaga sayur.

“Apa gunanya jika hanya restoran di Kuala Lumpur yang dibolehkan menerima pelanggan makan?

“Restoran di Selangor masih hanya menerima pembelian bungkus atau penghantaran sahaja. Sebilangan besar restoran sudah melakukannya semasa fasa pertama perintah kawalan pergerakan (PKP), jadi sebenarnya tidak banyak perbezaan,” kata Wong.

Wong berkaa hakikat semakin banyak pasar ditutup untuk kerja pembasmian kuman mempengaruhi perniagaan kerana mereka kehilangan pelanggan.

“Banyak peniaga menghubungi petani di Cameron Highlands secara terus untuk membeli sayur dan mengatur penghantaran. Kami kehilangan banyak pelanggan.

“Beberapa pelanggan juga takut masuk ke pasar sekarang, dan mereka yang belum diuji untuk Covid-19 juga tidak dibenarkan masuk.

“Warga asing juga tidak dibenarkan bekerja sekarang, dan banyak gerai sayur tidak dibuka kerana kekurangan tenaga kerja.

“Saya mengupah empat pekerja sambilan, tetapi selepas PKP ditarik balik dan mereka boleh kembali bekerja sepenuh masa di kilang, saya akan mengalami kekurangan tenaga kerja.

“Setiap peniaga sayur kini berdepan kesulitan dan kami tidak memiliki kemampuan untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Bagaimanapun, Wong bersetuju langkah tegas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diperlukan untuk menghentikan penyebaran Covid-19, walaupun ia menyebabkan banyak peniaga tutup kedai.

Kawasan di sekitar pasar borong dan Selayang Baru adalah satu-satunya tempat yang masih berada di bawah perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan (PKPD).

Virus Covid-19 setakat ini menjangkiti 6,386 dan membunuh 106 orang di seluruh negara. – 6 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen