Penduduk di kawasan PKPD Selayang rayu bantuan


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Anggota tentera berkawal di sekitar kawasan Selayang yang diletakkan di bawah PKPD. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

KIRA-KIRA 2,000 penghuni pangsapuri Seri Murni di Selayang merayu bantuan selepas kawasan mereka diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) pada Isnin bagi mengekang penyebaran virus Covid-19.

Dua kumpulan penduduk kawasan itu mempersoalkan mengapa PKPD dilaksanakan secara tiba-tiba tanpa sebarang notis.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, ramai tidak dapat membeli stok makanan dan barang keperluan lain dan terdapat penghuni dengan penyakit serius yang memerlukan perhatian segera, juga menyebabkan kesukaran.

Pengerusi lembaga pengurusan bersama Seri Murni Fasa 1 (JMB) Isiah Jacob berkata, beliau bingung mengapa penduduk tidak dimaklumkan mengenai PKPD.

Beliau berkata mereka semua masih terkejut dengan penutupan pantas tanpa sebarang amaran daripada pihak berkuasa.

“Mengapa penduduk tidak diberitahu?” Kata Jacob.

“Kami tidak menerima arahan dan penduduk juga tidak mempunyai masa untuk menyimpan makanan dan barang keperluan.

“Sekarang keluarga mengeluh kerana kehabisan makanan.”

Jacob berkata pihak berkuasa sekurang-kurangnya boleh memberitahu JMB yang akan membantu koordinasi dengan pihak berkuasa.

Katanya, terdapat tiga blok yang terdiri daripada 612 unit dengan lebih 2,000 penghuni di sini.

“Kira-kira separuh adalah penduduk tempatan dan selebihnya warga asing. Kami bimbang dengan keadaan ini.”

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih belum tiba untuk memberi bantuan kepada penghuni yang perlu mendapatkan rawatan.

“Kami mempunyai dua kes penduduk yang memerlukan dialisis. Mereka tidak mendapat rawatan sejak PKPD dikuatkuasakan.

“Satu lagi pasangan menelefon memberitahu mereka tidak dapat membawa anak ke klinik. Di mana pegawai kesihatan untuk memantau semua ini?”

Rungutan lain adalah penduduk tidak boleh keluar ke kawasan pembuangan sampah yang terletak di luar apartmen dan meninggalkan sampah di sepanjang koridor dan lobi.
 
“Mereka (pihak berkuasa) harus bekerjasama dengan JMB agar kami dapat membantu. Kami mahu mereka menempatkan dua pegawai di semua blok untuk menangani rungutan penghuni,” kata Jacob.

Pangsapuri Seri Murni di utara Kuala Lumpur dan lapan kawasan lain di Selayang ditempatkan di bawah PKPD dari 20 April hingga 3 Mei, menjadikan ia lokasi keenam yang dikenakan perintah pengurungan sepenuhnya.

Pihak berkuasa berkara sekitar 15,000 orang yang tinggal di sekitar pasar borong Selayang akan diperiksa. Ujian bermula pada Isnin.

Kawasan pengurungan terdiri daripada flat kos rendah dan sederhana yang dikelilingi oleh lot kedai komersial dan kediaman.

Virus Covid-19 setakat ini menjangkiti 5,482 dan membunuh 92 orang di seluruh negara ketika pihak berkuasa bergelut untuk mengawal wabak ini.

Pihak berkuasa mengumpul warga asing di Pangsapuri Seri Murni untuk menjalani ujian saringan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

Pengerusi JMB Fasa 3 Seri Murni, Puziah Yeop Harun memberitahu The Malaysian Insight beberapa penduduk kehabisan makanan.

“Kami masih menunggu bantuan dan makanan daripada JKM,” katanya.

“Kami memerlukan beras, tepung, minyak masak, gula dan yang paling penting susu.

“Terdapat kira-kira lapan bayi yang memerlukan susu dan seorang bayi dengan masalah kesihatan yang memerlukan susu khas.”

Beliau juga berkata terdapat tiga wanita hamil dan mereka tidak dapat menjalani pemeriksaan  disebabkan pengurungan, dan ada juga penduduk warga emas yang mempunyai masalah kesihatan.

“Kami berharap pihak berkuasa dapat mendirikan klinik sementara di kawasan ini,” kata Puziah.

“Kami tidak peduli siapa kerajaan hari ini, tolong jaga kebajikan rakyat.”

Pangsapuri Seri Murni menjadi tajuk berita sejak Isnin lalu selepas Ahli Parlimen Batu P Prabakaran ditahan ketika pergi ke kawasan itu untuk membuat pemeriksaan selepas mendapat aduan daripada mereka.

Prabakaran ditahan oleh polis di tempat kejadian selepas bertengkar dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara.

Ahli Parlimen Batu itu memberitahu The Malaysian Insight semalam, kawasan yang kenakan perintah pengurungan terdiri daripada pekerja migran dan penduduk tempatan, sambil menambah kebanyakan warga asing bekerja di pasar borong Selayang dan kedai di sekitarnya.

“Sebilangan penduduk tempatan adalah pekerja rencam, ada yang bergaji harian dan ada juga pemilik perniagaan kecil yang tergolong dalam kumpulan B40,” katanya kepada The Malaysian Insight dan menambah sangat penting pihak berkuasa memberikan bantuan kepada penduduk yang terlibat. – 22 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen