9 menara tinjau dibina di sekitar Pasar Borong Selayang


Seorang anggota tentera memantau kawasan sekitar Pasar Borong Selayang di Kuala Lumpur dari menara tinjau. Kawasan itu dikenakan PKPD susulan kes Covid-19 dikesan di situ. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 April, 2020.

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) membina sembilan menara tinjau di Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang di Kuala Lumpur, yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 3 Mei ini.

Panglima ATM Jen Affendi Buang berkata pembinaan menara tinjau di kawasan PKPD ke-6 itu dibuat khusus untuk memantau serta mengawasi pergerakan penduduk setempat di kawasan itu.

“Ini merupakan inisiatif ATM agar anggota lebih mudah melaksanakan tugas memantau sebarang percubaan individu luar untuk masuk ke dalam kawasan PKPD,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, pembinaan menara tinjau hanya dibuat di kawasan PKPD ke-6 saja.

Semalam, dilaporkan seorang lelaki dipercayai warga asing ditahan ketika cuba melarikan diri daripada kawasan Pasar Borong Selayang yang berada di bawah PKPD.

Pemandu teksi yang berada di kawasan itu mendakwa ada warga asing cuba melarikan diri dari kawasan itu sejak semalam, malah mereka dengan berani memotong kawat berduri yang dipasang untuk keluar.

Pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memutuskan untuk meletakkan Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang, dalam status PKPD.

Ismail Sabri berkata keputusan untuk melaksanakan arahan PKPD ke-6 tersebut dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan, melibatkan lapan parcel yang telah dikenal pasti seperti berikut:

    Parcel A: Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

    Parcel B:  Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

    Parcel C: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

    Parcel D:  Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

    Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur

    Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur

    Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B, Kuala Lumpur

    Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar, Kuala Lumpur

Pasar Borong Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai Pasar Borong Selayang tidak dikenakan PKPD, cuma kawasan sekitarnya saja dikenakan PKPD. – Bernama, 22 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen