Kes Riza macam curi 10 ayam, bayar seekor, selesai, kata Anwar


Perjanjian penyelesaian kes penggubahan wang Riza Aziz beri tanggapan remeh terhadap salah laku rasuah, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim. – Gambar fail AFP, 20 Mei, 2020.

KETUA pembangkang Anwar Ibrahim mempersoalkan perjanjian penyelesaian kes Riza Aziz yang dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram, yang katanya, memberi tanggapan remeh terhadap salah laku rasuah dan penyelewengan.

“Apakah munasabah kita selesaikan kes seperti ini dengan rundingan dan membayar sedikit.

“Kalau kita ambil RM1 juta, bayar RM100,000, selesai. Esok ada orang kata, dia curi 10 ekor ayam, bayar seekor, selesai.

“Itu kaedahnya sama, jangan pandang ringan,” katanya pada sidang video melalui Facebook, hari ini.

Presiden PKR berkata undang-undang semestinya dilaksana dan dikuat kuasa dengan sama rata antara semua orang, tanpa mengira latar belakang termasuk parti politik.

“Sistem perundangan tidak mengira parti. (Jangan) kita marah hanya kerana ia kecurangan rasuah Umno tetapi kalau rasuah dalam kalangan PKR, okay.

“Ini sebenarnya pendekatan dan kefahaman yang salah,” katanya.

Anwar mengulas keputusan Peguam Negara Idrus Harun yang bersetuju dengan representasi peguam bela Riza untuk anak tiri Najib Razak itu dilepaskan daripada tuduhan yang terkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Melalui perjanjian persetujuan itu, Riza, 43, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada tuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih kurang AS$248 (RM1.25 bilion) yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Hasil penyelesaian kes itu, Malaysia dijangka menerima semula aset yang terlibat yang dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta atau RM465.3 juta.

Pada Julai 2019, Riza, yang juga pemilik syarikat produksi Red Granite Pictures dan penerbit filem The Wolf of Wall Street, minta dibicarakan atas lima pertuduhan pengubahan wang haram terkait 1MDB.

Menurut Anwar, beliau membangkitkan soal penyelesaian kes jenayah penyelewengan kewangan itu bukan kerana ia melibatkan 1MDB atau Najib.

“Saya tidak mahu membangkitkan isu ini kerana melibatkan 1MDB atau Najib Razak saja. Sesetengah orang, pada dia itu saja rasuah… tidak,” katanya.

Jelas Anwar, sikap tegas menentang rasuah harus ada bukan saja dalam soal 1MDB tetapi juga terhadap menteri kabinet yang didakwa menyeleweng, “yang memunggah kekayaan dan projek”, baik dalam kerajaan sekarang mahu Pakatan Harapan sebelum ini.

“Kalau bercakap tentang rasuah, kita tidak mahu rasuah itu memelihara golongan atasan dan mendera golongan bawah,” tambahnya.

Penyelesaian kes Riza mencetuskan kontroversi selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata ia turut dipersetujui oleh bekas peguam negara Tommy Thomas.

Thomas yang letak jawatan selepas pertukaran kerajaan di Putrajaya pada Mac lalu bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan pernah bersetuju dengan perjanjian seperti itu.

Katanya, tindakan itu hanya akan menjejaskan kewibawaannya sebagai pendakwa raya yang jujur dan profesional demi rakyat.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengetuai pentadbiran baharu di Putrajaya juga menafikan terlibat atau campur tangan dalam rundingan penyelesaian kes Riza.

Semalam, pihak pendakwaan berkata Riza akan jadi saksi pendakwaan dalam kes 1MDB terhadap Najib yang sedang dibicarakan di mahkamah. – 20 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen