Saya tidak akan setuju perjanjian Riza, kata Tommy Thomas


Bekas peguam negara Tommy Thomas berkata tindakan meluluskan perjanjian Riza Aziz hanya akan menjejaskan kredibilitinya di mata rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2020.

TOMMY Thomas berkata beliau tidak akan pernah bersetuju dengan perjanjian dicadangkan oleh Riza Aziz bagi menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haramnya.

Bekas peguam negara itu berkata, ia akan mengkhianati kepercayaan perdana menteri dan kerajaan Pakatan Harapan diberi kepadanya jika membenarkan perjanjian itu.

“Oleh kerana Tan Sri Idrus (peguam negara) berusaha memberi pertimbangan terhadap pandangan saya yang kononnya ‘bersetuju secara prinsipnya’ (yang kesemuannya adalah rekaan), izinkan saya menyatakan secara terbuka bahawa saya tidak akan pernah meluluskan perjanjian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan demikian hanya akan menjejaskan kredibilitnya sebagai pendakwa raya yang berkhidmat secara jujur dan profesional demi rakyat.

Kenyataan terbaru Thomas mengenai perkara itu susulan kenyataan oleh Peguam Negara Idrus Harun semalam yang Thomas secara prinsipnya bersetuju mempertimbangkan perjanjian dicadangkan oleh Riza untuk menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya sebagai balasan semua harta dan wang yang diperoleh oleh Riza Aziz akan dipulangkan kepada kerajaan.

Idrus berkata, beberapa kali menghantar representasi kepada Pejabat Peguam Negara menerusi peguam cara beliau, Tetuan Scivetti & Associates, agar tuduhan terhadapnya dikaji semula.

Riza berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah AS$248 juta yang berkait dengan 1MDB di antara April 2011 dan November 2012.

Sekiranya bersalah, beliau boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun dan denda hingga RM5 juta.

“Saya telah dinasihatkan bahawa mantan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, setelah meneliti surat representasi ini, melalui satu minit bertarikh 19 November 2019, telah memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Dato’ Seri Gopal Sri Ram, dan turut menyatakan berdasarkan cadangan-cadangan yang dinyatakan di atas, beliau bersedia untuk memberi pertimbangan kepada representasi tersebut.

“Saya telah diberitahu lebih lanjut bahawa Sri Ram, setelah berkonsultasi dengan ketua SPRM Latheefa Koya, menyarankan agar proposal yang dinyatakan dalam surat perwakilan diterima oleh SPRM.

“Saya selanjutnya telah dinasihatkan bahawa Dato’ Seri Gopal Sri Ram, setelah berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Puan Latheefa Koya, telah mencadangkan agar cadangan-cadangan yang dinyatakan di dalam representasi tersebut diterima oleh SPRM,” kata Idrus dalam kenyataan pada Ahad. –  18 Mei, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen