Tommy Thomas secara prinsip setuju tawaran Riza, kata Peguam Negara


Tommy Thomas mendakwa SPRM terus berbohong mengenai perjanjian yang menyaksikan Riza Aziz dilepaskan tanpa bebas daripada dakwaan pengubahan wang haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2020.

TOMMY Thomas secara prinsipnya telah bersetuju untuk menerima tawaran Riza Aziz bagi mengkaji semula dakwaan pengubahan wang haram yang dikenakan atasnya, kata Peguam Negara Idrus Harun.

Idrus berkata Riza beberapa kali menghantar representasi kepada Pejabat Peguam Negara menerusi peguam cara beliau, Tetuan Scivetti & Associates agar semua pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dikaji semula.

Kata Idriu sebagai balasan semua harta dan wang yang diperoleh oleh Riza akan dipulangkan kepada kerajaan.

Riza menghadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah AS$248 juta yang berkait dengan 1MDB di antara April 2011 dan November 2012.

Beliau berdepan hukuman penjara selama lima tahun dan denda sehingga RM5 juta jika didapati bersalah.

“Saya telah dinasihatkan bahawa mantan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, setelah meneliti surat representasi ini, melalui satu minit bertarikh 19 November 2019, telah memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Dato’ Seri Gopal Sri Ram, dan turut menyatakan berdasarkan cadangan-cadangan yang dinyatakan di atas, beliau bersedia untuk memberi
pertimbangan kepada representasi tersebut.

“Saya selanjutnya telah dinasihatkan bahawa Dato’ Seri Gopal Sri Ram, setelah berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Puan Latheefa Koya, telah mencadangkan agar cadangancadangan yang dinyatakan di dalam representasi tersebut diterima oleh SPRM. 

“Saya juga telah dinasihatkan bahawa Tan Sri Tommy Thomas telah secara prinsip bersetuju dengan cadangan tersebut. Ini telah membuka jalan kepada rundingan lanjut dan perancangan mekanisme yang perlu diambil, diadakan,” kata Idrus dalam satu kenyataan hari ini.

Anak tiri kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2019.

Beliau merujuk perjanjian kerajaan untuk menggugurkan dakwaan terhadap Riza sebagai balasan mendapat semula aset yang dikaitkan dengan 1MDB berjumlah kira-kira AS$107.3 juta (RM465.3 juta).
 
Sebagai sebahagian perjanjian itu, Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada 14 Mei membenarkan permohonan pihak pendakwa raya melepaskan tanpa membebaskan Riza daripada beberapa pendakwaan.

Thomas bagaimanapun mendakwa SPRM terus berbohong dengan mendakwa beliau terlibat dalam sebahagian perjanjian yang menyaksikan Riza dilepaskan tanpa bebas daripada dakwaan pengubahan wang haram.

Thomas berkata walaupun beliau telah membetulkan kenyataan media SPRM pada 14 Mei lalu menerusi media, tetapi agensi antirasuah itu masih berpegang dengan kenyataan pertama mereka.

“Ini amat mengejutkan kerana SPRM meneruskan pembohongan selepas kebenaran ditunjukkan kepada mereka.

“SPRM sebenarnya tahu bahawa perenggan terakhir kenyataan media (yang pertama) menyebut ‘perjanjian antara pihak pendakwaan dengan tertuduh dipersetujui bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas’ adalah tidak benar,” kata Thomas dalam satu kenyataan.
 
Thomas meletak jawatan sebagai Peguam Negara pada 28 Februari selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Beliau berkata adalah tidak adil mengaitkan beliau dengan keputusan dalam kes melepaskan Riza.

Thomas Tommy mendakwa SPRM terus berbohong dengan mendakwa beliau terlibat dalam sebahagian perjanjian yang menyaksikan Riza dilepaskan tanpa bebas daripada dakwaan pengubahan wang haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2020.

Idrus berkata peguam cara Riza pernah menghantar satu lagi surat representasi pada 11 Mac 2020 untuk mengukuhkan cadangan-cadangan yang telah
dikemukakan sebelum ini dan memberi aku janji bahawa, jika Riza gagal untuk mematuhi mana-mana terma dan syarat yang dinyatakan, kelima-lima pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atasnya dikekalkan.

“Perkara ini telah dibentangkan kepada saya setelah saya dimaklumkan tentang pendirian terdahulu Tan Sri Thomas. 

“Setelah ditaklimatkan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya yang
mengendalikan perkara ini, saya bersependapat dengan pandangan mantan Peguam Negara sebagaimana yang telah ditaklimatkan kepada saya, dan telah bersetuju untuk menerima tawaran Riza Aziz tertakluk kepada pematuhan yang ketat terhadap semua terma dan syarat.”

Kemudian pada 16 April 2020, Idrus berkata pihak SPRM telah membalas surat peguam cara yang secara asasnya menyatakan bahawa Pendakwa Raya
bersedia untuk memohon satu perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) ke atas kelima-lima pertuduhan.

Katanya ia tertakluk kepada Riza mengambil langkah-langkah untuk memastikan semua wang dan harta-harta yang disita dikembalikan kepada Kerajaan Malaysia dan seterusnya membayar kompaun selaras dengan seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Anti-Pembiayaan Keganasan 2001. – 17 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • TS Tommy ada cakap sama lu kah?

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Thomas Samuel · Ulasan