Muhyiddin tidak terlibat perjanjian Riza, kata Pejabat Perdana Menteri


Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata persetujuan antara pendakwa dan anak tiri Najib Razak, Riza Aziz adalah melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin tidak terlibat dalam persetujuan melepas tanpa membebaskan anak tiri Najib Razak, Riza Aziz daripada pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata persetujuan antara pendakwa dan tertuduh adalah melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

“YAB Perdana Menteri mengulangi pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman dalam membuat apa-apa keputusan berkaitan kes jenayah di negara ini termasuk kes-kes berprofil tinggi,” kenyataan itu dipetik.

Riza berdepan lima tuduhan pengubahan wang haram kerana menerima hasil daripada kegiatan haram berjumlah AS$248 juta (RM1.07 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB antara April 2011 dan November 2012.

Beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM5 juta jika sabit kesalahan. 

Bagaimanapun, satu perjanjian dibuat antara beliau dan kerajaan sebagai balasan mendapatkan semula aset di luar negara yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB yang dianggarkan bernilai AS$107.3 juta (RM4.6 juta).

Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 14 Mei melepas tanpa membebaskan Riza.

Perjanjian itu mencetus kontroversi selepas Peguam Negara Idrus Harun berkata Tommy Thomas secara prinsipnya telah bersetuju untuk menerima tawaran Riza.

Bekas peguam negara Tommy Thomas berkata beliau tidak akan pernah bersetuju dengan perjanjian dicadangkan oleh Riza Aziz bagi menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram anak tiri Najib itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2020.

Idrus berkata Riza beberapa kali menghantar representasi kepada Pejabat Peguam Negara menerusi peguam cara beliau, Tetuan Scivetti & Associates agar semua pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dikaji semula.

Sebagai balasan, semua harta dan wang yang diperoleh oleh Riza akan dipulangkan kepada kerajaan, kata Idrus.

“Saya telah dinasihatkan bahawa mantan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, setelah meneliti surat representasi ini, melalui satu minit bertarikh 19 November 2019, telah memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Dato’ Seri Gopal Sri Ram, dan turut menyatakan berdasarkan cadangan-cadangan yang dinyatakan di atas, beliau bersedia untuk memberi
pertimbangan kepada representasi tersebut.

“Saya selanjutnya telah dinasihatkan bahawa Dato’ Seri Gopal Sri Ram, setelah berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Puan Latheefa Koya, telah mencadangkan agar cadangancadangan yang dinyatakan di dalam representasi tersebut diterima oleh SPRM. 

“Saya juga telah dinasihatkan bahawa Tan Sri Tommy Thomas telah secara prinsip bersetuju dengan cadangan tersebut. Ini telah membuka jalan kepada rundingan lanjut dan perancangan mekanisme yang perlu diambil, diadakan,” kata Idrus dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Thomas menyangkal beliau bersetuju dengan perjanjian dicadangkan oleh Riza.

Bekas peguam negara itu berkata ia akan mengkhianati kepercayaan perdana menteri dan kerajaan Pakatan Harapan diberi kepadanya jika membenarkan perjanjian itu.

“Oleh kerana Tan Sri Idrus (peguam negara) berusaha memberi pertimbangan terhadap pandangan saya yang kononnya ‘bersetuju secara prinsipnya’ (yang kesemuannya adalah rekaan), izinkan saya menyatakan secara terbuka bahawa saya tidak akan pernah meluluskan perjanjian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan demikian hanya akan menjejaskan kredibilitnya sebagai pendakwa raya yang berkhidmat secara jujur dan profesional demi rakyat. – 18 Mei, 2020.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen