Kabinet bincang isu pendakwaan suspek kes LTTE, kata Mujahid


Zaim Ibrahim

Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusuf berkata Kabinet akan membincangkan keputusan peguam negara menggugurkan pendakwaan terhadap 12 individu yang dituduh menyokong LTTE. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2020.

KABINET akan membincangkan keputusan peguam negara menggugurkan pendakwaan terhadap 12 individu yang dituduh menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Mujahid Yusof Rawa.

Menteri hal ehwal agama itu berkata, mesyuarat minggu depan itu juga akan membincangkan mengenai usul mengeluarkan pertubuhan itu daripada senarai pengganas Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Tegasnya, Pejabat Peguam Negara tdak berkuasa mengeluarkan sesebuah kumpulan daripada senarai pengganas kerana bidang kuasa itu bawah KDN.

“Pendirian kita jelas macam Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin sebut untuk kita nak keluarkan satu-satu pertubuhan sebagai pengganas atau tidak, kekal bahaya atau tidak itu bukan keputusan Pejabat Peguam Negara. Itu keputusan KDN.

“KDN ada sumber-sumber yang boleh letak sesuatu kumpulan itu (sebagai pengganas) atas alasan keselamatan.

“Peguam negara tiada kuasa itu. Kami menanti dalam Kabinet untuk membawa isu ini, dan di situ mungkin akan bincang soal keluarkan seseorang itu atau pertubuhan itu daripada mana-mana senarai yang disebut sebagai pengganas atau tidak,” kata beliau.

Mujahid mengulas tindakan Peguam Negara Tommy Thomas menghentikan pendakwaan terhadap 12 individu yang didakwa menyokong kumpulan LTTE.

Beliau memberi alasan, “tidak ada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh atas mana-mana 34 pertuduhan”.

Thomas juga berkata, Muhyiddin perlu mengkaji semula pewartaaan kumpulan pengganas seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

Mujahid yang bercakap kepada pemberita di Batu Uban, Pulau Pinang hari ini turut mengingatkan, usaha membebaskan tertuduh yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas perlu diteliti secara rapi.

“Perkara ini kena ingat, ia adalah (soal) keselamatan. Islamic State (Daesh), LTTE atau apa-apa pertubuhan, soal keselamatan perlu buat penelitian dengan rapi bukan sekadar melepaskan,” katanya.

Dua daripada tertuduh yang terlibat dalam kes itu merupakan Adun DAP – G Saminathan (Gadek) dan P Gunasekaran (Seremban Jaya).

Turut ditahan adalah pemandu teksi V Balamurugan, penghantar surat S Teeran, peniaga besi buruk A Kalaimughilan, ketua pegawai perbadanan S Chandru dan juruteknik S Arivainthan.

Empat orang lagi adalah penjaga stor S Thanagaraj, pengawal keselamatan M Pumugan, guru sekolah Sundram Renggan @ Rengasamy, serta ahli DAP V Suresh Kumar.

Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) serta tidak dibenar diikat jamin.

Mereka antaranya dituduh memberi sokongan kepada LTTE dalam suatu majlis, memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam media sosial dan pertuduhan memiliki, mengedar dan memaparkan bahan-bahan berkaitan LTTE. – 23 Februari, 2020. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen