Penjualan harta Tabung Haji, Kementerian Kewangan tak terlibat, kata Mujahid


Menteri Hal Ehwal Agama Dr Mujahid Yusof Rawa berkata Kementerian Kewangan tidak terlibat dalam penjualan harta Tabung Haji. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2020.

KEMENTERIAN Kewangan tidak terlibat dalam penjualan harta Tabung Haji, kata Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid memberi maklum balas terhadap laporan yang mendakwa Menteri Kewangan Lim Guan Eng bertanggungjawab menjual aset milik Tabung Haji.

Mujahid berkata dalam satu kenyataan bahawa di bawah Akta Tabung Haji 1995, urusan Tabung Haji jatuh di bawah bidang kuasanya.

“Ia perlu ditekankan di sini, mengikut Akta Tabung Haji 1995, menteri yang bertanggungjawab bagi TH adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menangani hal ehwal Islam dan bukan Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau menambah bahawa semua keputusan oleh Jabatan Perdana Menteri untuk memulihkan Tabung Haji adalah selaras dengan Akta Tabung Haji.

Imej Lim dengan keterangan bahawa pemimpin DAP adalah musuh nombor satu dalam Islam dan “darahnya halal” dikongsi di media sosial beberapa hari lalu.

“Cina ini perosak aset TH milik orang Melayu tidak layak hidup di Tanah Melayu,” menurut keterangan pada gambar berkenaan.

Laporan polis juga dibuat oleh salah seorang pegawai khas Mujahid berhubung kejadian itu.

Hari ini beberapa pengguna Facebook telah memohon maaf kepada Mujahid selepas mereka berkongsi foto yang mendakwa Lim mempengerusikan mesyuarat TH.

TH dalam satu pengumuman pada Selasa berkata mereka telah memindahkan pemilikan dan operasi empat hotel kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) tanpa pemberhentian mana-mana kakitangan berkuatkuasa 1 April. 

Mereka berkata operasi akan diteruskan seperti biasa di TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Bayan Lepas, TH Hotel & Convention Center Alor Setar dan TH Hotel & Pusat Konvensyen Kuala Terengganu.

Anak syarikat UJ, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM) akan mengambil alih hotel dari TH Hotel dan Residence Sdn Bhd (THHR).

Kesemua hotel adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang melibatkan 29 hartanah, satu syarikat tidak tersenarai dan ekuiti bernilai RM9.63 bilion.

Jualan itu adalah sebahagian daripada rancangan penyusunan semula Tabung Haji untuk mengurangkan komitmen kewangan Putrajaya.

Pengurusan empat hotel itu akan diketuai oleh Muhammad Salleh Ramli, bekas ahli lembaga Hotel MS Garden Kuatan, Pahang.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif rangkaian Hotel Seri Malaysia. – 20 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen