Ugutan bunuh terhadap Mujahid, NGO buat laporan polis


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof menjadi mangsa komen berunsur fitnah, ugutan dan ancaman bunuh daripada pengguna media sosial baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2020.

PERTUBUHAN Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) hari ini membuat laporan polis terhadap lima individu yang memuat naik komen berunsur fitnah, ugutan dan ancaman bunuh terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof. 

Presiden GMPN Razali Zakaria berkata antara individu yang dinamakan dalam laporan polis itu ialah Muhammad Naim, yang memuat naik ayat berbaur ugutan bunuh berbunyi ‘Mujahid ini patut dibunuh memang manusia terbangsat di dunia’ di akaun Facebooknya baru-baru ini.

Turut dinamakan dalam laporan itu ialah Mohd Elham, Asfanizam Bin Abdullah, Hanif Junit dan Abu Rafiq.

“Mereka telah memuat naik status dan komen yang berunsur mengancam keselamatan dan menghasut orang lain bertindak melakukan perbuatan yang sama di laman sosial masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pagi tadi.

Beliau berkata pautan kepada laman media sosial itu juga telah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintenden Naazron Abdul Yusof yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut.

Naazron berkata kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan berita palsu. – Bernama, 22 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen