SEORANG wanita kelahiran Amerika Syarikat (AS) yang kesal menyertai kumpulan Daesh, sekali lagi merayu untuk pulang dari kem pelarian yang didiami bersama anak kecilnya di Syria.
AS enggan membenarkan Hoda Muthana kembali dengan alasan beliau bukan warga Amerika.
Dalam temu bual dengan NBC News yang disiarkan pada Sabtu, Muthana berkata kesal dengan semua tindakan Daesh, yang disertainya pada 2014 selepas mengikut ideologi ekstremis ketika tinggal bersama keluarganya di Alabama.
“Sesiapa yang percaya kepada Tuhan percaya bahawa semua orang patut mendapat peluang kedua, tidak kira betapa besarnya dosa mereka,” kata Muthana.
Wawancara itu dibuat di timur laut Syria di kem pelarian Al-Roj, dikawal oleh pasukan Kurdish, di mana Muthana tinggal bersama anak lelakinya Adam yang berumur dua tahun.
Muthana berkata bimbang keselamatan dirinya kerana mungkin menjadi sasaran penghuni kem yang masih bersama Daesh.
“Saya tidak menyokong pemenggalan kepala oleh (Daesh) sejak mula sehingga sekarang saya tidak menyokong sebarang jenayah dan serangan bunuh diri,” kata Muthana.
Kerajaan AS membawa pulang beberapa wanita Amerika yang dikaitkan dengan kumpulan itu, bersama anak-anak mereka, tetapi tidak Muthana.
Washington berkata beliau bukan warga AS walaupun dilahirkan di sana kerana beliau adalah anak diplomat yang berkhidmat untuk kerajaan Yaman pada masa itu.
Muthana memfailkan saman untuk cuba kembali ke AS. Beliau ke Syria dengan pasport AS.
“Saya seorang warganegara dan mempunyai kertas untuk membuktikannya. Saya sama seperti rakyat Amerika yang bermata biru, berambut perang dan saya ingin tinggal di negara saya serta melakukan perkara dibuat oleh orang Amerika,” kata Muthana kepada NBC.
Setiausaha Negara Mike Pompeo menyifatkannya sebagai seorang pengganas.
Muthana berkahwin dengan tiga militan Daesh yang kesemuanya maut dalam pertempuran.
Beliau mengambil bahagian secara aktif dalam propaganda Daesh, menurut Counter Extremism Project.
Muthana juga memuji serangan pada 2015 di pejabat majalah Charlie Hebdo, Perancis yang menyebabkan 12 orang mati.
Beliau bagaimanapun, enggan membincangkan semua komen awalnya itu.
Muthana berkata sanggup menghadapi sistem keadilan AS jika dibenarkan pulang.. – AFP, 10 November, 2019.
Komen