APLIKASI media sosial TikTok menutup akaun yang mempamerkan video propaganda untuk kumpulan militan Daesh, kata seorang pekerja syarikat pada Selasa, susulan skandal terbaru yang melanda platform popular itu.
TikTok dimiliki oleh firma China, ByteDance, mendakwa mempunyai kira-kira 500 juta pengguna di seluruh dunia pada tahun lepas, menjadikannya salah satu aplikasi sosial paling popular.
Seorang pekerja di TikTok memberitahu AFP kira-kira 10 akaun ditutup kerana menyiarkan video sebegitu.
“Hanya satu daripada video tersebut ditonton dengan bilangan lebih dua digit sebelum ia diturunkan,” kata penonton itu, yang enggan disiarkan namanya.
Video itu memaparkan mayat diarak di jalanan dan pejuang Daesh membawa senapang, menurut Wall Street Journal (WSJ), yang pertama kali melaporkan kisah itu pada Isnin.
WSJ berkata entri itu adalah daripada lebih puluh akaun, yang dikenal pasti oleh syarikat perisikan media sosial Storyful.
“Kandungan yang mempromosikan organisasi pengganas sama sekali tiada tempat di TikTok,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada AFP.
Platform TikTok, yang membolehkan pengguna membuat dan berkongsi video selama 15 saat, sangat popular di kalangan remaja.
Aplikasi ini dilanda kontroversi sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada April, TikTok diharamkan oleh mahkamah India kerana didakwa mempromosikan pornografi di kalangan kanak-kanak.
Aplikasi ini turut diharamkan di negara jiran Bangladesh dan didenda di Amerika Syarikat kerana mengumpul maklumat secara tidak sah daripada kanak-kanak.
Syarikat menafikan dakwaan itu, mengatakan mereka mematuhi undang-undang privasi tempatan.
ByteDance mempunyai versi TikTok di China yang dipanggil Douyin. – AFP, 22 Oktober, 2019.
Komen