Suspek militan serang polis Indonesia ditahan 


Tahun lalu, Surabaya digegarkan dengan siri serangan berani mati yang dilakukan oleh beberapa keluarga termasuk kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan 12 tahun. – Gambar EPA, 18 Ogos, 2019.

PIHAK berkuasa Indonesia menahan seorang suspek militan yang menyerang anggota polis di sebuah balai polis di Surabaya, semalam.

Kejadian itu berlaku pada hari kemerdekaan Indonesia dan ketika penduduk negara itu dalam keadaan berjaga-jaga terhadap kemungkinan serangan kumpulan pelampau tempatan yang menyokong militan Daesh.

Dalam kejadian semalam, seorang lelaki berusia 30 tahun memasuki balai polis itu dan mendakwa mahu membuat laporan.

Namun dia tiba-tiba mengeluarkan sabit dan mula melibas anggota polis yang bertugas.

Anggota polis itu mengalami kecederaan di kepala, muka dan tangan, dan kini dirawat di hospital manakala seorang lagi anggota yang cuba menghentikan serangan mengalami cedera ringan.

Suspek penyerang itu dipercayai penyokong militan Daesh.

Siasatan polis mendapati lelaki itu melakukan serangan dengan motif mahu berjihad.

Tahun lalu, Surabaya digegarkan dengan siri serangan berani mati yang dilakukan oleh beberapa keluarga termasuk kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan 12 tahun.

Mereka melancarkan serangan terhadap beberapa gereja dan mengakibatkan sejumlah jemaah maut. – AFP, 18 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen