TUJUH bekas pejuang Islam terbunuh dalam serangan yang diakui dilakukan oleh Daesh di selatan Filipina, kata tentera dan polis hari ini.
Ketujuh-tujuh individu itu adalah anggota kumpulan gerila terbesar di Filipina, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Kumpulan itu bagaimanapun, menyerahkan senjata mereka di bawah perjanjian damai pada 2014.
Satu kumpulan bersenjata pro- Daesh, Dawlah Islamiyah menyerang kem MILF dekat bandar Shariff Saydona semalam, mencetus pertempuran selama beberapa jam, kata komander batalion tentera, Leftenan Kolonel Ernesto Gener.
Daesh menerusi pengumuman rasmi yang dilihat oleh SITE Intelligence Group, mengaku bertanggungjawab atas seranga tersebut. SITE Intelligence Group adalah kumpulan yang memantau aktiviti militan.
Kumpulan militan itu mendakwa seramai lapan anggota MILF dibunuh, tetapi komande polis tempatan Leftenan Kolonel Arnold Santiago memberitahu pemberita pihak berkuasa dimaklumkan hanya tujuh orang yang terbunuh.
Penduduk tempatan berkata mereka nampak tujuh mayat diangkut masuk ke dalam sebuah bot di tebing sungai di Shariff Saydona.
Jurucakap MILF Von al Haq enggan memberi sebarang komen. – AFP, 5 Oktober, 2019.
Komen