Pemimpin Daesh, Baghdadi dipercayai mati selepas serangan AS


Baghdadi dipercayai membunuh diri dengan jaket yang diletakkan bom ketika pasukan operasi khas AS melakukan operasi di kawasan tersebut, kata media memetik sumber kerajaan. – Gambar EPA, 27 Oktober, 2019.

PEMIMPIN Daesh Abu Bakar al-Baghdadi dipercayai mati selepas serangan tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau Idlib, Syria, lapor media AS.

Baghdadi dipercayai membunuh diri dengan jaket yang diletakkan bom ketika pasukan operasi khas AS melakukan operasi di kawasan tersebut, kata media memetik sumber kerajaan.

Baghdadi adalah sasaran operasi rahsia yang diluluskan Presiden Donald Trump, kata pihak berkuasa.

Kematian Baghdadi dilaporkan beberapa kali sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pihak berkuasa memberitahu ABC News bahawa ujian biometrik sedang dijalankan untuk mengesahkan identiti mereka yang terbunuh dalam serbuan itu.

Rumah Putih mengumumkan Trump akan membuat “kenyataaan penting” pada pukul 9 pagi waktu tempatan tanpa memberikan butiran lanjut.

Trump sebelum ini menghantar status “Sesuatu yang sangat besar telah berlaku!” di Twitter tanpa perincian.

Baghdadi, yang berasal dari Iraq dan berusia sekitar 48 tahun, mengetuai cawangan Al-Qaeda di Iraq, mengakui merancang operasi pengeboman bunuh diri dan serangan lain menyasarkan kaum Syiah dan Sunni menyebabkan ribuan korban sepanjang 2010-2013.

Beliau kemudiannya keluar daripada Al-Qaeda dan mengumumkan kumpulan jihadis yang lebih agresif bernama Daesh yang bertujuan untuk mewujudkan pemerintahan khilafah sendiri di rantau itu. – AFP, 27 Oktober, 2019. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen