Isteri Baghdadi dedah rahsia Daesh selepas tangkap


Asma Fawzi Muhammad Al-Qubaysi dipercayai merupakan isteri pertama pemimpin Daesh itu, yang terbunuh dalam serangan khas pasukan AS di Syria bulan lepas. – Gambar AFP, 8 November, 2019.

ISTERI ketua kumpulan Daesh yang terbunuh Abu Bakr al-Baghdadi mendedahkan “banyak maklumat” mengenai kumpulan militan itu selepas ditangkap tahun lalu, kata seorang pegawai Turki.

Pegawai itu mengatakan isteri Baghdadi yang memperkenalkan dirinya sebagai Rania Mahmoud tetapi sebenarnya adalah Asma Fawzi Muhammad Al-Qubaysi.

Beliau mengaku merupakan “isteri pertama” pemimpin Daesh itu, yang terbunuh dalam serangan khas pasukan AS di Syria bulan lepas.

Wanita berkenaan ditahan pada 2 Jun 2018 di wilayah Hatay, berhampiran sempadan Syria, bersama 10 yang lain, termasuk anak perempuan Baghdadi, yang mengenalkan dirinya sebagai Leila Jabeer.

Pegawai itu berkata hubungan kekeluargaan mereka disahkan menggunakan sampel DNA Baghdadi yang diberi oleh pihak berkuasa Iraq.

“Kami mendapati identiti (isterinya) sebenar dengan cepat. Pada ketika itu, beliau memberikan banyak maklumat mengenai Baghdadi dan kerja dalaman Daesh secara sukarela,” kata pegawai itu.

“Kami dapat mengesahkan banyak perkara yang sudah kami ketahui. Kami juga mendapat maklumat baru yang membawa kepada beberapa penangkapan di tempat lain.”

Presiden Recep Tayyip Erdogan mendedahkan buat kali pertama pada Rabu penahanan itu.

“Kami menangkap isterinya - saya katakan hari ini untuk pertama kalinya - tetapi kami tidak membuat kecoh,” kata Erdogan kepada semasa pertemuan pelajar di Ankara.

Beliau mengesahkan Turki juga menahan kakak dan adik ipar Baghdadi.

Pemimpin Daesh itu terbunuh dalam serbuan pasukan khas AS yang dijalankan dengan bantuan pejuang Kurdish di wilayah timur laut Syria Idlib, bersebelahan sempadan Turki.

Menurut AS, Baghdadi lari ke dalam terowong di tempat persembunyiannya dan meletupkkan diri bersama dua anaknya. – AFP, 8 November, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen