Polis terima laporan kes ucapan Zainal Kling


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua eksekutif sekretariat penganjur, Prof Emeritus Zainal Kling didakwa membangkitkan mengenai budi baik orang Melayu dan pemberian kerakyatan kepada bukan Melayu pada himpunan Kongres Maruah Melayu Ahad lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2019.

POLIS mengesahkan menerima satu laporan berhubung himpunan Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam pada Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan laporan itu berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum.

Katanya, laporan dibuat ke atas ketua eksekutif sekretariat penganjur, Prof Emeritus Zainal Kling.

“Kes ini di siasat dibawah Seksyen 505b Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Zainal dalam ucapan pembukaan tirai kongres itu antara lain menyentuh isu berkaitan Perlembangaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Beliau juga didakwa membangkitkan mengenai budi baik orang Melayu dan pemberian kerakyatan kepada bukan Melayu.

Laporan terdahulu menyebut, satu laporan polis telahpun dibuat terhadap Zainal oleh satu pemimpin NGO Tamil Pulau Pinang, Yoganathan Loganathan.

Pemimpin Penang Society for Tamil Advancement membuat laporan di ibu pejabat polis Seberang Perai selepas membaca komen Zainal yang terbit di portal Malaysiakini dan The Malaysian Insight.

Kongres Ahad lalu dihadiri lebih 5,000 peserta dan turut disertai Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin tertinggi Umno, PAS dan Pakatan Harapan. – 9 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen