Jawatan kanan hanya untuk Melayu, desak kongres


Timbalan Ketua Pemuda PAS, Fadhli Shaari, yang membacakan resolusi itu pada Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini. – 6 Oktober, 2019

JAWATAN kanan dalam Jemaah Menteri dan institusi utama harus dikhususkan hanya untuk orang Melayu, kata Kongres Maruah Melayu dalam resolusinya yang dibentangkan hari ini.

Kongres itu menuntut rombakan ke atas undang-undang yang akan memastikan semua jawatan utama seperti perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri dikhususkan hanya untuk orang Melayu.

Syarat kaum sama juga dituntut bagi beberapa jawatan menteri kanan antaranya kewangan, pendidikan, pertahanan dan dalam negeri, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS, Fadhli Shaari, yang membacakan resolusi itu.

Resolusi itu juga mendesak hanya Melayu memegang jawatan institusi utama seperti ketua hakim, ketua polis, ketua setiausaha dan peguam negara.

Resolusi berkenaan adalah antara puluhan ketetapan yang dibentangkan di bawah lima teras iaitu politik, ekonomi, pendidikan, agama dan kebudayaan, yang diserahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Resolusi itu disampaikan kepada hadirin kongres oleh wakil dari universiti dan pertubuhan politik, sebelum Dr Mahathir tiba untuk menyampai amanatnya.

Dalam resolusi sama, kongres juga mahu menteri yang bertanggungjawab dalam urusah hal ehwal agama dilantik dalam kalangan orang yang dihormati, berilmu dan ahli Sunnah wal Jamaah.

Kongres Maruah Melayu anjuran empat universiti awam yang diadakan di Stadium Malawati di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Oktober, 2019

Kongres juga meminta segala fahaman liberalisme dan pluralisme dibendung, sementara badan yang cenderung ke arah itu seperti Suhakam dan Majlis Peguam tidak campur tangan dalam urusan Islam.

Sementara itu, dalam soal pendidikan, kongres menuntut pelaksanaan sepenuhnya sekolah satu aliran dan kerajaan memansuhkan sekolah jenis kebangsaan.

Resolusi yang dibacakan oleh mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris, Nurul Fatin Aqilah Rahim itu berkata sekolah pelbagai aliran tidak membantu perpaduan rakyat.

Kongres itu mahu kerajaan komited memantapkan sistem pendidikan kebangsaan.

Resolusi untuk pendidikan turut mencadangkan agar biasiswa oleh beberapa agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas dan Bank Rakyat dikhaskan hanya untuk Melayu dan Bumiputera.

Dalam aspek budaya, kongres mahu kerajaan dan pihak swasta menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pentadbiran, yang diaudit penggunaannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pihak berkuasa tempatan.

Resolusi yang dibaca kaunselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Muhammad Za’im Rosli itu juga kerajaan memartabatkan tulisan Jawi melalui sistem pendidikan, sebagai identiti dan warisan.

Mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris, Nurul Fatin Aqilah Rahim membacakan resolusi pada Kongres Maruah Melayu yang menyentuh mengenai sekolah pelbagai aliran.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Oktober, 2019.

Resolusi kongres dibacakan kepada hadirin selepas ucapan pembukaan Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Dr Zainal Kling.

Kongres dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ia disertai pemimpin politik dari semua parti politik Melayu, antaranya Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Antara pemimpin Melayu lain yang hadir ialah bekas menteri kabinet Barisan Nasional, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Noh Omar yang masih bersama Umno, serta Mustapa Mohamed yang kini menyertai Bersatu.

Menteri kabinet dari Bersatu juga hadir iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Redzuan Yusof, Maszlee Malik dan menteri besar Mukhriz Mahathir dan Ahmad Faizal Azumu.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, yang juga menteri kabinet, hadir. – 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen