Tidak wajar pandang rendah orang Melayu yang rajin, kata Charles


Ragananthini Vethasalam

Charles berkata adalah tidak wajar bagi perdana menteri untuk memberitahu masyarakat Melayu bahawa mereka tidak bekerja keras sedangkan terdapat banyak orang Melayu yang bekerja keras untuk menikmati kehidupan yang lebih baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2019.

TIDAK tepat untuk memandang rendah orang Melayu yang rajin bekerja dengan mengatakan bahawa mereka tidak cukup bekerja keras, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Pemimpin DAP itu mengulas ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menggesa orang Melayu untuk bekerja keras bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka di Kongres Maruah Melayu yang diadakan awal hari ini.

Perhimpunan itu menyaksikan lebih daripada 5,000 hadirin, termasuk menteri dan ahli politik daripada Pakatan Harapan dan pembangkang.

Charles berkata adalah tidak wajar bagi perdana menteri untuk memberitahu masyarakat Melayu bahawa mereka tidak bekerja keras sedangkan terdapat banyak orang Melayu yang bekerja keras untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.

Pemimpin DAP itu turut menambah bahawa terdapat orang yang rajin dan malas dalam setiap masyarakat.

Beliau berkata masalah sebenar yang dihadapi kini adalah pengagihan kekayaan hanya memberi manfaat kepada orang kaya Melayu dan tidak memberi faedah kepada golongan miskin.

“Dengan bekerja keras sahaja tidak akan menyelesaikan masalah ini. Masalahnya sekarang adalah wang yang diterima orang-orang miskin tidak begitu besar berbanding subsidi bagi orang kaya di kalangan Melayu. Itulah masalahnya, “katanya kepada The Malaysian Insight.

“Mereka terlepas hal yang sebenarnya, iaitu ribuan bahkan mungkin jutaan orang Melayu berada dalam kemiskinan,” katanya.

Beliau juga berkata ahli politik, terutama mereka yang tidak lagi mendapat sokongan, tidak perlu mengambil kesempatan daripada himpunan sebegitu rupa dengan alasan untuk menangani nasib orang Melayu bagi mendapatkan sokongan politik untuk kekal relevan.

Charles juga menyentuh ucapan yang disampaikan penganjur dan ahli akademik terkemuka, Zainal Kling, yang menyentuh beberapa perkara sensitif.

Zainal dilaporkan meminta orang bukan Melayu untuk tidak melupakan kebaikan orang Melayu dan tidak menyimpang dari kontrak sosial di negara ini.

Charles berkata kenyataan itu mengejutkan kerana seakan-akan menyebarkan kebencian sedangkan beliau adalah seorang ahli akademik kanan. – 6 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen