60% manifesto Pakatan ditunaikan, kata PM


Dr Mahathir berkata bahawa beberapa janji itu telah dilaksanakan sepenuhnya namun beliau turut mengakui bahawa sesetengah janji masih belum dapat dilaksanakan seperti yang dijanjikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Oktober, 2019.

SEKURANG-kurangnya 60% daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) berjaya dilaksanakan sejak gabungan politik itu mengambil alih pentadbiran, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata bahawa beberapa janji itu telah dilaksanakan sepenuhnya namun beliau turut mengakui bahawa sesetengah janji masih belum dapat dilaksanakan seperti yang dijanjikan.

“Sudah tentu tidak sepenuhnya, beberapa janji 100 peratus (telah dilaksanakan), ada juga (janji) yang peratus (pelaksanaannya) lebih rendah,” katanya pada sidang akhbar di Subang hari ini.

“Ini menunjukkan bahawa ramai di antara kita tidak membaca sepenuhnya manifesto.

“Kami tidak pernah berjanji untuk menghapuskan tol misalnya, tetapi ia dianggap sebagai sebahagian daripada manifesto.

“Ada banyak perkara yang tidak dibaca dengan teliti dan kadang-kadang kita terbawa-bawa dengan pandangan pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun, semakan terhadap manifesto pilihan raya PH jelas menyatakan bahawa tol akan dihapuskan jika mereka berkuasa.

Janji menghapuskan tol adalah janji keenam dalam manifesto tersebut. Dalam muka surat 25 (versi Bahasa Malaysia) manifestonya, PH dengan jelas menyatakan bahawa “Kami akan berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.” – 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen