Perihal maruah Melayu: Renungan raja, ilmuwan dan negarawan


DALAM Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan hari ini, kita dengar ada beberapa cadangan daripada pembentangan felo kluster yang antaranya berkenaan dengan perpaduan nasional, pendidikan, agama dan politik.

Keresahan orang Melayu tentang peluang pendidikan, cabaran integrasi antara kaum, pemahaman tentang agama dan masa depan politik negara adalah sesuatu yang berlaku dan ia bukanlah hanya sentimen agama dan kaum semata-mata.

Oleh sebab itu, dalam amanat Dr Mahathir, beliau menekankan peri pentingnya orang Melayu mengubah nasib diri sendiri. Beliau berkata, “Jangan minta orang lain lakukan sesuatu untuk memulihkan maruah kita. Melayu sendiri kena pulihkan maruah Melayu”. Ini sesuai dengan seruan Al-Quran dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 iaitu, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.

Merenung tentang perbahasan maruah Melayu ini, ia bukanlah satu tajuk yang sensasi sejak setahun lebih ini sahaja. Tokoh ilmuwan budaya Melayu dan falsalah Islam semasa, yakni Dr. Siddiq Fadzil pernah menonjolkan perihal maruah dalam kebudayaan Melayu melalui dialog yang dirakamkan di dalam kitab Sejarah Melayu, antara Seri Teri Buana (pemimpin) dengan  Demang Lebar Daun (rakyat).

Dalam dialog tersebut, rakyat Melayu meletakkan syarat jikalau hamba Melayu itu berbuat salah, jangan ia diaibkan. Ini disambut dengan komitmen tegas pemimpin Melayu dengan amaran bernada sumpahan bahawa, “Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya.” Ini membuktikan bahawa dalam budaya Melayu, khususnya politik, maruah adalah nilai yang sangat tinggi malah bersangkutan dengan kedaulatan sesebuah negara.

Aib kepada maruah Melayu ini pernah ditegur oleh Paduka Seri Sultan Perak dalam titah baginda dalam satu muzakarah yang bertemakan “Mengakar Kuat Umat Melayu, Menjunjung Tinggi Islam” di negeri Perak pada tahun 2017.

Baginda bertitah bahawa, “Hari ini maruah bangsa semakin diaibkan dengan perbuatan rasuah, pecah amanah, penipuan dan salah guna kuasa. Sewajarnya bangsa berwaspada dengan titik-titik nila yang akan memusnahkan susu sebelanga.” Jelas menunjukkan di mata Raja Melayu, maruah Melayu terletak pada nilai akhlak, moral dan integriti bangsa itu sendiri.

Berkaitan dengan nilai akhlak yang sangat rapat dengan perihal maruah Melayu, satu seminar antarabangsa berkenaan sejarah dan budaya Asia Tenggara yang dianjurkan pada awal bulan September yang lalu di ISTAC turut membahaskan tentang kepentingan seseorang Melayu untuk menjadi seorang Muslim yang baik.

Anwar Ibrahim menjelaskan dalam seminar berkenaan berhubung keprihatinan beliau berkenaan wacana budaya, kaum dan peradaban yang harus dilihat dengan sihat dan melalui perbahasan yang waras. Beliau mengingatkan bahawa kemelayuan boleh bersifat chauvinis jika tidak bersandarkan nilai-nilai Islam seperti keadilan, kasih sayang dan kemanusiaan kerana pada beliau kemelayuan tanpa keislaman hanyalah berpaksikan kepada perkauman.

Beliau juga menekankan masalah sekarang ini adalah masalah kemelaratan, kemiskinan, rasuah dan penyelewengan dan salah guna kuasa. Malah masalah ini juga termasuk pandangan serong agama yang hanya memfokus kepada hukuman tetapi tidak kepada memupuk nilai-nilai hidup yang betul.

Secara rumusannya, melalui pandangan pemerintah Raja Melayu, tokoh ilmuwan Melayu dan negarawan Melayu, dapat kita fahami bahawa maruah Melayu ini bukan hanya perihal dasar-dasar kerajaan dalam bab pendidikan, politik dan agama sahaja tetapi maruah Melayu adalah bersandarkan kepada akhlak mulia dan integriti yang tinggi, berasaskan kepada nilai-nilai Islam yang sejagat.

Maka, dalam mengorak langkah ke masa depan, orang Melayu harus menyegarkan semula nilai hidup Islam yang menumpu kepada ketakwaan kepada Allah, budaya mencintai ilmu dan kebenaran, adil dan cemerlang dalam kerja buat urusan seharian serta bersifat kasih kepada semua, alam sekitar dan umat manusia berbilang agama, bangsa dan tanahair. 

* Yasir Tamizi adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen