Peserta Kongres Maruah Melayu setuju untuk kerja keras


Mohd Farhan Darwis

Acara Kongres Maruah Melayu menyaksikan Stadium Malawati Shah Alam dipenuhi ribuan orang, dengan persembahan biduanita Siti Nurhaliza, yang menyanyikan lagu 'Anak Kecil Main Api' ketika perdana menteri menuju ke atas pentas. – Gambar The Malaysian Inside oleh Seth Akmal, 6 Oktober, 2019.

PESERTA Kongres Maruah Melayu bersetuju dengan gesaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk bekerja lebih keras bagi meningkatkan taraf hidup mereka dan memelihara maruah Melayu.

Abd Ghafar Abd Ghani, 65, seorang ahli perniagaan dari Melaka, berkata tidak ada ancaman terhadap maruah Melayu, seperti yang dikatakan orang ramai, dan Dr Mahathir sememangnya betul ketika mengatakan bahawa orang Melayu harus berusaha untuk maju dalam kehidupan.

Beliau menambah bahawa resolusi yang diperkenalkan untuk memperkasa masyarakat itu dalam sektor ekonomi, politik, budaya, agama dan pendidikan bukanlah sesuatu yang baru.

“Ini semua memang berlaku untuk sementara waktu. Sekarang ini, mereka berasa tidak puas hati. Apa yang dikatakan dalam resolusi itu tidak berbeza dengan apa yang mereka tempuh selama ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dr Mahathir, dalam ucapannya, berkata terdapat persepsi yang semakin meningkat kononnya maruah orang Melayu berada di bawah ancaman tetapi pada hakikatnya, perkara sedemikian rupa tidak wujud.

Beliau menambah bahawa orang Melayu sendiri perlu bekerja keras untuk mengubah nasib mereka.

Perdana menteri turut berkata bahawa orang Melayu sendiri jadi pemarah dalam komuniti mereka sendiri.

Sementara itu, peserta lain yang hanya mahu dikenali sebagai Sam berkata, kongres itu membantu memberi pencerahan kepada rakyat terutamanya golongan muda mengenai peruntukan dalam perlembagaan persekutuan.

“Ia satu langkah yang baik. Saya harap lebih banyak program seperti ini diadakan supaya semua orang boleh belajar, “katanya.

“Semua orang mempunyai hak mereka, jadi mari kita hidup harmoni seperti pada tahun 1960-an dan 1970-an. Kami mahu kembali seperti dulu. Mudah-mudahan, kita boleh mencapainya. “

Sementara itu, Muhamad Izman Mohd Zamri, 23, berkata kongres itu adalah satu langkah yang baik untuk menyatukan orang Melayu.

“Dr Mahathir betul. Kita perlu memotivasi diri kita sendiri. Beliau berkata orang Melayu malas. Berapa lamakah kita merancang untuk disuap sahaja? Ini harus diambil sebagai kritikan membina bagi memajukan orang Melayu,” kata Izman.

Beliau menambah walaupun para pemimpin yang hadir di kongres tersebut mempunyai ideologi politik yang berbeza, mereka bagaimanapun telah meletakkan perbezaan itu ke tepi bagi bersatu demi masyarakat.

Mohd Sidek, 68, dari Kuala Terengganu, berkata, walaupun Perdana Menteri mempunyai hujahnya tersendiri, para pemimpin kadang-kadang tidak menyedari keadaan di akar umbi.

“Kami (Melayu) juga mahu mendapat pendapatan yang lebih baik. Apabila orang Cina mendapat kontrak, mereka tidak ambil orang Melayu untuk bekerja untuk mereka. Orang Melayu, sebaliknya, mencari orang yang mahu bekerja dengan gaji rendah,” katanya.

“Warga asing pun ingin bekerja untuk gaji minima sebanyak RM1,100,” katanya.

Walau bagaimanapun, Sidek mengakui dan berkata terdapat banyak orang Melayu yang rajin.

Ismaqil Ismail, 24, dari Perak, mengambil kata-kata Dr Mahathir sebagai motivasi untuk bekerja lebih keras.

Beliau berkata kongres itu juga merupakan peluang untuk membawa pemimpin pelajar lebih dekat dengan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil.

“Resolusi itu tidak muktamad tetapi kami percaya bahawa Dr Mahathir mahu kami berusaha ke arah matlamat kami dan bukannya mengharapkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran Dr Maszlee Malik berkata pelajaran daripada  kongres itu adalah komuniti harus bekerja dan belajar lebih keras.

“Perkara-perkara yang perlu diambil oleh setiap orang Melayu daripada kongres hari ini adalah mereka perlu bekerja lebih keras, belajar lebih keras, dan melakukan banyak perniagaan,” katanya.

Pemimpin pelajar turut mengemukakan beberapa resolusi kepada Dr Mahathir selain sentimen yang meriah di stadium itu, dengan sorakan “Hidup Tun” ketika perdana menteri itu naik ke atas pentas untuk menyampaikan amanatnya.

Acara itu menyaksikan Stadium Malawati Shah Alam dipenuhi ribuan orang, dengan persembahan biduanita Siti Nurhaliza, yang menyanyikan lagu ‘Anak Kecil Main Api’ ketika perdana menteri menuju ke atas pentas. – 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen