Zamihan ditahan berkaitan isu dobi Islam


Muzliza Mustafa

PENCERAMAH kontroversi, Dr Zamihan Mat Zin ditahan polis selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Zamihan mencetuskan kontroversi apabila mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkaitan isu dobi untuk orang Islam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Wan Ahmad Najmuddin Mohd mengesahkan perkara ini kepada The Malaysian Insight dan berkata Zamihan akan diperintah reman esok bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 4A Akta Hasutan.

“Ya, saya boleh sahkan dia ditahan pada jam 3.50 petang di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi,” kata Najmuddin menerusi pesanan teks ringkas.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun memberitahu wartawan pagi ini yang Zamihan akan disiasat kerana menghasut susulan kenyataan mengkritik Sultan Johor yang tidak membenarkan dobi untuk orang Islam sahaja beroperasi di negeri itu.

Zamihan, seorang bekas penceramah jabatan agama kerajaan dan kini pegawai agama Jabatan Penjara bagaimanapun menafikan mengkritik Sultan Johor, mengatakan yang dia hanya memberikan pandangan peribadi tentang keperluan orang Islam mempunyai dobi berasingan bagi menjaga “kesucian mereka”.

Fuzi bagaimanapun berkata yang polis sudah menerima satu laporan berkenaan kes itu.

Pada ceramah agama Ahad lalu di Shah Alam, Zamihan didakwa berkata tidak wajar Sultan Ibrahim menghalang dobi untuk orang Islam sahaja di negerinya.

Zamihan mengatakan dia tidak menghina Sultan, dan mempertahankan haknya memberikan pandangan peribadi mengenai keperluan orang Islam menjaga “kesucian” mereka dengan tidak berkongsi pakaian cucian mereka dengan orang bukan Islam, yang dikatanya sebagai “tidak bersih”.

“Kita ini orang Islam harus mempertahankan prinsip dan hak kita. Bukan Islam boleh guna dobi mesra Muslim tapi kena jaga sensitiviti kita itu.

“Kita kan lebih-lebih lagi negara Islam contoh, negara Islam hadhari dan model terbaik. Mengapa dobi Muslim tidak wajar dibuat. Perdana menteri kita Islam, Raja-Raja kita Islam, majoriti rakyat Islam dan kenapa dobi sedemikian hendak ditutup dan dikenakan tindakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Zamihan juga mengalu-alukan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed yang kerajaan akan melancarkan siasatan berkaitan isu itu. – 11 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen