Pegawai Jakim kritik Sultan Johor isu dobi akan disiasat


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini menyelar tindakan pemilik dobi di negeri itu yang meletakkan papan tanda perniagaannya khas untuk orang Islam sahaja. – Gambar Facebook, 10 Oktober, 2017.

KEMENTERIAN Dalam Negeri akan menyiasat dan mengambil tindakan kepada seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengkritik Sultan Johor berkaitan isu dobi untuk orang Islam.

“Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat dan ambil tindakan,” kata Timbalan Menteri Nur Jazlan Mohamed seperti dilaporkan akhbar The Sun.

Dilaporkan sebelum ini, Zamihan Mat Zain mengkritik tindakan Sultan Johor yang campur tangan dalam isu dobi itu, dia juga menggelarkan orang China sebagai “tidak bersih”.

“Ada Sultan kata dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta, ini bukan Afghanistan, negeri Taliban. Tak patut Tuanku Sultan cakap macam tu. Patut dobi mesra Muslim ni adalah menunjukkan orang Islam ini mementingkan nilai suci lagi menyucikan,” kata Zamihan dalam satu ceramah.

Isu dobi untuk orang Islam menjadi tumpuan masyarakat selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyelar tindakan pemilik dobi itu.

Hari ini pula, Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyatan menyokong tindakan Sultan Johor dalam isu tersebut. – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen