Raja-Raja Melayu mahu rakyat pertahan perpaduan, keharmonian


Raja-Raja Melayu bimbang tindakan yang dilakukan atas nama Islam boleh membawa kesan yang mendalam. – Gambar AFP, 10 Oktober, 2017.

MAJLIS Raja-Raja Melayu mendukung pendirian tegas Sultan Johor dan Raja Muda Perlis berhubung kes “kedai dobi untuk orang Islam sahaja” yang dikesan di dua negeri itu baru-baru ini, sekali gus melahirkan kebimbangan tentang cubaan individu tertentu menggugat perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Syed Danial Syed Ahmad berkata Raja-Raja Melayu bimbang tindakan itu yang dilakukan atas nama Islam boleh membawa kesan yang mendalam.

Katanya, Raja-Raja Melayu menggesa rakyat agar mempertahankan imej Islam yang toleran, sederhana dan inklusif.

“Imej Islam yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari tindakan-tindakan yang bersikap keterlaluan dan memisahkan rakyat,” katanya, dalam satu kenyataan rasmi mewakili Raja-Raja Melayu, hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bulan lalu bertitah menyelar tindakan seorang pemilik sebuah kedai dobi layan di Muar, Johor yang mengehadkan perkhidmatan hanya untuk orang Islam sahaja dengan alasan untuk menjaga kesucian.

Pemilik kedai dobi itu kemudiannya akur kepada titah baginda dan menurunkan papan tanda yang disifatkan diskriminasi itu, selepas diberi kata dua hentikan tindakannya itu atau kedainya ditutup.

Selang beberapa hari selepas kejadian di Muar itu, sebuah kedai dobi di Kangar, Perlis ditegur pula Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kerana melakukan bentuk perniagaan yang sama.

Majlis Raja-Raja menyifatkan pendirian tegas yang dizahir oleh Sultan Johor dan Raja Muda Perlis itu “mencerminkan keprihatinan tentang pentingnya umat Islam mengamalkan sikap toleran, sederhana dan inklusif” dalam sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum.

Raja-Raja Melayu turut menggesa rakyat Malaysia agar terus mengamalkan nilai-nilai bermasyarakat dan bernegara berpandukan prinsip dalam Perlembagaan Negara dan semangat Rukun Negara.

“Rukun Negara yang diisytiharkan sebagai ideologi kebangsaan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong keempat pada 31 Ogos 1970, menggariskan lima cita-cita dan lima prinsip, harus menjadi kompas pedoman oleh semua pihak, baik pemimpin, pentadbir dan rakyat keseluruhannya,” kata kenyataan itu. – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen