Dakwaan hina Sultan Johor, Zamihan sedia disiasat KDN


Nabihah Hamid

Presiden ASWAJA Malaysia Dr Zamihan Mat Zin berkata beliau tidak menyebut langsung tentang Sultan Johor dalam ceramahnya Ahad lalu dan hanya menjelaskan pandangannya yang perlu menyokong dobi Muslim agar terpelihara dan suci. – Gambar YouTube, 11 Oktober, 2017.

DR ZAMIHAN Mat Zin berkata beliau bersedia disiasat oleh mana-mana pihak terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas didakwa membuat kenyataan menghina Sultan Johor dalam ceramahnya di Shah Alam, Ahad lalu.

Presiden ASWAJA Malaysia itu menegaskan beliau hanya memberi pandangan peribadi mengenai kepentingan memastikan kesucian dalam cucian dobi bagi orang Islam dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat serta menghina Sultan Johor seperti dilaporkan media.

“Yang pertama sekali, siapa saja boleh datang siasat saya. Saya pegawai yang telus dan saya tidak kritik atau menghina sesiapa dalam ceramah berkenaan.

“Saya hanya menjelaskan pandangan peribadi saya (untuk) perlu menyokong dobi Muslim agar terpelihara dan suci.

“Untuk melakukan ibadat, syarat sah ibadat adalah suci. Ini komen peribadi. Dalam ceramah saya tiada sebut pun Sultan Johor. Malah tiada kata-kata menghina sama sekali. Malah saya hormat pandangan Sultan Johor,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Portal berita The Sun melaporkan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Agama, Jabatan Penjara Malaysia itu mengkritik tindakan Sultan Johor yang campur tangan dalam isu dobi itu, dia juga menggelar orang China sebagai “tidak bersih”.

“Ada Sultan kata dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta, ini bukan Afghanistan, negeri Taliban. Tak patut Tuanku Sultan cakap macam tu. Patut dobi mesra Muslim ni adalah menunjukkan orang Islam ini mementingkan nilai suci lagi menyucikan,” kata Zamihan dalam satu ceramah.

Bekas pegawai di Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) itu bagaimanapun memohon maaf dan bersedia menghadap Sultan Johor untuk menjernihkan keadaan.

“Adalah mustahil untuk saya sama sekali menuturkan kata-kata yang bersifat untuk memperlekeh atau jauh sekali untuk menghina Tuanku Sultan.

“Bagaimanapun saya merafakkan sembah memohon maaf seandainya Tuanku Sultan Johor terasa hati dengan salah faham yang timbul: Ampun Tuanku.

“Saya juga bersedia menghadap Tuanku Sultan bila-bila masa saja dari sekarang jika diperkenankan Tuanku untuk memperjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf secara berdepan dari hati ke hati,” katanya.

Pertahan dobi Muslim

Zamihan dalam pada itu berkata beliau tetap dengan pendiriannya mengenai kepentingan dobi Muslim dalam negara untuk melindungi kebersihan masyarakat Islam.

“Kita ini orang Islam harus mempertahankan prinsip dan hak kita. Bukan Islam boleh guna dobi mesra Muslim tapi kena jaga sensitiviti kita itu.

“Kita kan lebih-lebih lagi negara Islam contoh, negara Islam hadhari dan model terbaik. Mengapa dobi Muslim tidak wajar dibuat. Perdana menteri kita Islam, Raja-Raja kita Islam, majoriti rakyat Islam dan kenapa dobi sedemikian hendak ditutup dan dikenakan tindakan,” katanya.

Pada 27 September lalu The Star melaporkan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengarahkan pemilik kedai dobi layan diri mesra Muslim memohon maaf secara terbuka dan menghentikan amalan diskriminasi atau berdepan risiko ditutup.

Pemilik Elit Laundry di Muar, Johor kemudian akur dengan perintah Sultan Ibrahim dan mengalihkan tanda larangan kontroversi untuk Muslim saja.

Sementara itu, Zamihan berkata pihak berkuasa seharusnya menyiasat individu lain yang lebih mengancam negara berbanding dirinya yang hanya mempertahankan hak orang Islam.

“Saya pertahankan hak sensitiviti orang Islam, mengapa saya harus disiasat atas Akta Hasutan. Malah ramai lagi liberalisme agama, ajaran sesat dan anti hadis. Siasatlah mereka,” katanya. – 11 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen